My Add

Tuesday 27 August 2013

40 individu ditahan Ops Cantas di Kemaman

DUNGUN, SELASA, 27 Ogos, 2013: Polis Terengganu menahan seramai 40 individu dalam Ops Cantas Khas yang dilakukan seharian di sekitar Kemaman pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd. Jamil berkata, daripada jumlah itu, tiga ditahan atas pelbagai kesalahan manakala selebihnya bersabit penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, dalam Ops khas berkenaan, seramai 420 individu diperiksa dan operasi akan diperluaskan ke daerah lain dengan sasaran terhadap bekas banduan, penagih dadah serta individu berisiko tinggi melakukan jenayah.

"Polis juga turut mengadakan sekatan jalan raya, rondaan di kawasan-kawasan panas yang telah dikenal pasti," katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Dahlan Mohd Noor yang ditukarkan ke cawangan lain.

Hamzah berkata, pihaknya juga mengenal pasti seramai 45 orang bekas tahanan Ordinan Darurat di negeri ini yang telah dibebaskan sejak 10 tahun lepas.

Menurutnya, kesemua individu berkenaan kini dipantau pihak berkuasa bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam jenayah berat di negeri ini.

"Kita telah mengenal pasti kesemua tahanan yang dibebaskan ini dan sebahagian daripada mereka masih menetap di Terengganu dan ada juga telah meninggalkan negeri ini.

"Kami masih memantau pergerakan mereka dan mendekati golongan ini dengan memberi nasihat agar tidak terjebak dengan salah laku jenayah," katanya. - BERNAMA  

No comments:

Post a Comment