My Add

Thursday 1 August 2013

Ibu tak sangka nasib Boon Huat seperti bapanya

PETALING JAYA, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Tan Kuai Neo tidak menyangka akan kehilangan anak, Chua Boon Huat, pemain hoki kebangsaan, dalam kemalangan jalan raya hari ini, tragedi sama meragut nyawa suaminya sembilan tahun lepas.

Kuai Neo , 64, berkata suaminya, Chua Peng Hock maut dalam kemalangan dengan kenderaan lain ketika menunggang motosikal di Melaka, dan kini anak bongsu kesayangannya pula jadi mangsa kemalangan jalan raya.

"Saya terkejut dengan berita kematian anak saya kerana ayahnya juga pergi akibat kemalangan.

"Teman wanita Boon Huat memaklumkan kepada saya melalui panggilan telefon pada 4 pagi tadi mengenai anak saya," katanya kepada pemberita sambil menangis di Bilik Mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini.

Boon Huat, 33, maut setelah kereta Proton Perdana dipandunya terlanggar sebuah lori tangki air di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran stesen LRT Kelana Jaya, pada 2.25 pagi.

Mengetahui khabar mengejut itu, Kuai Neo bersama keluarganya dari Melaka segera ke Kuala Lumpur sejauh 130 kilometer untuk ke PPUM dan tiba di sini pada 6 pagi.

Kuai Neo berkata, Boon Huat mempunyai seorang abang dan dua orang kakak.

"Boon Huat adalah seorang anak yang suka bercakap, periang dan taat," katanya.

Bagi Boon Huat, hoki adalah hidupnya kerana anaknya itu meminati dan bermain hoki dalam pertandingan sejak sekolah lagi sehingga mewakili Sekolah Kebangsaan Bandar Hilir, Melaka semasa di darjah empat dan bermain untuk Melaka High School bagi peringkat sekolah menengah, katanya.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan Boon Huat adalah pada penghujung Jun lalu, sewaktu dia ada masa lapang dan tiada perlawanan," katanya sambil menambah tiada tanda-tanda pelik ditunjukkan anaknya sebelum kemalangan itu.

Beliau berkata, mayat anaknya akan dibakar pada Isnin ini di Semabok, Melaka.

Suasana pilu menyelubungi bilik mayat hospital itu apabila 10 anggota keluarga mendiang Chua hadir sementara menunggu proses bedah siasat yang selesai pada 10 pagi.

Sementara itu, abang sulung mendiang, Aliff Nor Najmi Chua, 42, berkata, minat mendiang dalam sukan hoki berkembang di peringkat sekolah rendah selepas beliau memperkenalkan sukan itu kepada mendiang.

Bekas pemain ragbi kebangsaan dari 1998-2004 itu berkata, beliau berjumpa mendiang buat kali terakhir pada pertengahan Jun lepas di Melaka ketika mendiang pulang ke kampung halaman di Semabok.

"Kali terakhir saya jumpa dengan dia, tiada apa-apa perkara ganjil yang berlaku pada mendiang... mendiang seorang yang kuat bekerja dan amat komited ketika melakukan sebarang tugasan yang diberikan," katanya dalam nada suram kepada pemberita. Aliff menerima berita kematian adik bongsunya itu kira-kira pukul 4 pagi dan bergegas ke ibu negara dari Melaka.

"Saya tidak menduga beliau pergi seawal ini, kerana saya amat menyayangi beliau, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya yang memeluk agama Islam sejak lapan tahun lepas. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment