My Add

Tuesday 27 August 2013

Najib edar tanglung percuma sempena perayaan Kuih Bulan

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 Ogos, 2013: Sempena perayaan Kuih Bulan yang akan disambut oleh masyarakat Cina pada 19 September depan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengedarkan tanglung khas secara percuma untuk peminatnya menerusi laman Facebooknya 'Ah Jib Gor' mulai hari ini.

"Sempena menyambut perayaan tradisional yang bermakna ini, kami telah mereka bentuk tanglung khas dan akan mengedarkannya secara percuma," menurut kenyataan berbahasa Mandarin yang disiarkan melalui laman Facebook itu.

Setiap peminat hanya boleh mendapatkan dua Tanglung. Peminat-peminat hanya perlu mengisi butiran peribadi seperti nama penuh, alamat rumah serta e-mel pada ruangan yang disediakan di laman berkenaan.

Najib dalam kenyataan itu berkata sambutan perayaan Kuih Bulan ialah salah satu perayaan tradisional penting di kalangan masyarakat Cina.

Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Perayaan Kuih Bulan kepada masyarakat Cina di negara ini.

Mengikut kalendar Cina, masyarakat Cina di seluruh dunia menyambut Perayaan Kuih Bulan yang jatuh pada hari ke-15 bulan kelapan setiap tahun.

Perayaan itu juga dikenali sebagai Pesta Perpaduan kerana bulan penuh pada hari itu melambangkan keluarga yang lengkap dan bersatu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment