My Add

Wednesday 28 August 2013

Orang tengah pertanian dihapus

Oleh amran mulup

 *ISMAIL Sabri Yaakob (kanan) beramah mesra dengan hadirin dalam majlis Ramah Mesra Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama pengerusi serta pemimpin-pemimpin Pertubuhan Peladang Kawasan di Ayer Keroh, Melaka, semalam. - BERNAMA
MELAKA, SELASA, 27 Ogos, 2013: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan untuk menghapuskan sepenuhnya peranan orang tengah dalam sektor pertanian di seluruh negara mulai tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha untuk menghapuskan peranan orang tengah amat penting bagi membantu golongan petani, peladang, penternak dan nelayan mendapat keuntungan yang lebih baik.

Menurutnya, peranan mereka yang menguasai industri pertanian di seluruh negara menjadi punca golongan petani gagal meraih keuntungan dan masih hidup di bawah paras kemiskinan.

"Kita dapat lihat dari dahulu hingga sekarang campur tangan orang tengah di dalam mengambil keuntungan begitu besar menyebabkan petani dan nelayan tidak mendapat untung yang banyak.

"Kementerian akan menumpukan usaha menyeluruh kepada perancangan proses menghapuskan peranan orang tengah yang turut menentukan kenaikan harga sesuatu produk itu dan mengurangkan hasil golongan petani serta nelayan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa menghadiri majlis Ramah Mesra Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama pengerusi serta pemimpin-pemimpin Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) negeri di Taman Botanikal, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Idris Haron dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman.

Ismail Sabri berkata, pihaknya merancang untuk memasarkan hasil pertanian melalui agensi di bawah kementerian seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tanpa lagi perlu melalui orang tengah.

Menurutnya, konsep pasaran dari ladang terus ke pasar tanpa melalui orang tengah perlu dilaksanakan segera bagi memastikan golongan petani dan nelayan menikmati hasil jualan yang lebih baik.

Sebagai langkah awal katanya, pasar tani akan diwujudkan lebih banyak mulai tahun hadapan dengan sasaran 1,000 pasar tani akan dibuka supaya petani boleh terus memasarkan produk secara terus kepada pengguna.

"Selain pasar tani, kita juga akan membuka pasar nelayan di setiap kawasan pendaratan hasil tangkapan bagi membolehkan nelayan dapat memasarkan hasil tangkapan secara terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 100 pasar nelayan akan diwujudkan di lokasi yang akan dikenal pasti oleh LKIM.

Di Melaka katanya, kementerian akan mewujudkan sebanyak tiga tapak pasar nelayan iaitu Pantai Siring, Lereh dan Pantai Puteri.

Tiga tapak pasar nelayan sedia ada beroperasi di Sempang, Serkam, Duyong dan Kuala Sungai Baru. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment