My Add

Thursday 1 August 2013

Pelan pendidikan tetap dilancar: TPM

Oleh Mohamed Farid Noh 

 * MUHYIDDIN menyampaikan sumbangan kepada anak yatim sambil diperhatikan Ahmad (kiri) pada Majlis Iftar Bersama Timbalan Perdana Menteri dan isteri di Surau Saadiah, Batu 1 Bakri, Muar, semalam.
Dong Zong dicabar buktikan jika ada usaha hapus bahasa, sekolah Cina
MUAR, RABU, 31 Julai, 2013:: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 tetap akan dilancarkan 6 September ini meskipun dibantah Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Timbalan Perdana Menteri berkata, pelan 13 tahun itu dirumus tanpa ada niat terselindung mahupun niat jahat termasuk menghapuskan sekolah dan bahasa Mandarin.

“Saya nak cabar mereka (Dong Zong) supaya baca setiap inci ayat yang ada dalam pelan ini... ada tak satu perkataan pun yang kata kerajaan nak menghapuskan bahasa dan sekolah Cina?... mana ada.

“Kita tidak tahu macam mana ia terus menghantui mereka (Dong Zong)... pelan itu dibuat hanya kerana usaha kerajaan nak meningkatkan mutu pembelajaran di sekolah kebangsaan... salah ke?

 “Saya nak beritahu di sini, kita akan terus laksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 tanpa rasa tergugat, terganggu atau takut sedikit pun,” katanya berucap pada majlis berbuka puasa bersama golongan asnaf di Surau Saadiah, Bakri, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Pengarah Urusan UDA Holding Bhd, Ahmad Abu Bakar.
Muhyiddin berkata, pelan pembangunan itu dirumus bagi melonjakkan kualiti sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama.

“Kita nak semua Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak termasuk Orang Asli masuk ke sekolah kebangsaan bukan saja demi perpaduan kaum malah bagi mendapatkan pendidikan berkualiti.

“Oleh itu, jangan jadikan pelan ini isu politik dan menentangnya,” katanya.
Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut menerima zakat perniagaan bernilai RM150,000 yang dibayar UDA Holdings Bhd kepada golongan asnaf.

Sejumlah RM30,000 lagi disumbangkan UDA Holding kepada Pengerusi Lembaga Amanah Surau Saadiah, Ghaf-for Yassin. - BH

No comments:

Post a Comment