LUBNAN, RABU, 31 Julai, 2013: Kesedihan kerana kehilangan orang tersayang di tanah air tidak mematahkan semangat anggota pasukan Malaysia Batalion 5 (MALBATT 5) untuk terus menabur bakti di kawasan bergolak di sini.
Mereka kini melaksanakan tugas di bawah Misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Pegawai Staff 1 MALBATT 5, Fazal Abdul Rahman, berkata 10 anggota dan pegawai yang kehilangan orang tersayang di tanah air, ketika bertugas menjaga keselamatan dan keamanan di sini, termasuk dirinya sendiri.
“Saya mendapat berita bapa meninggal dunia pada waktu malam dan keesokannya pada waktu Subuh (waktu Lubnan), kami mengadakan tahlil, kemudian diikuti solat jenazah ghaib selepas Zuhur.
“Perasaan memang sangat sedih, lebih-lebih lagi apabila saya tidak dapat berada di samping keluarga ketika itu. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ‘keluarga’ MALBATT di sini banyak memberi kata semangat dan kekuatan untuk mengharungi situasi yang sukar itu,” katanya ketika lawatan delegasi media Malaysia ke Kem MALBATT 5, Tibnin, di sini, semalam.
Katanya, beliau yang turut merasai bagaimana sembilan lagi anggotanya mengalami nasib serupa turut berkongsi kesedihan dengan ujian yang menimpa serta membantu memberikan semangat.
“Ada anggota saya yang pulang bercuti selama seminggu ke tanah air dengan penuh kegembiraan kerana ingin menyambut kelahiran anak pertama turut menerima nasib sama apabila bayinya meninggal dunia ketika dilahirkan akibat masalah kesihatan.
“Namun atas rasa tanggungjawab terhadap tugas yang diberikan, anggota itu kembali semula ke sini, selepas sempat berkongsi kesedihan dengan isteri hanya kurang seminggu,” katanya.
Bagi Sarjan Raskan Sigin, 46, dia sedih kerana tidak dapat berada bersama bapanya yang menghembuskan nafas terakhir pada pagi 14 Disember lalu.
“Memang dalam hati saya berasa sedikit terkilan sebab sudah terlalu lama tidak bertemu dengannya kerana kesibukan tugas selain faktor bapa yang tinggal di Tuaran, Sabah, manakala saya bertugas di Kuching, Sarawak.
“Namun, rasa kekesalan sedikit hilang, selepas empat tahun tidak bertemu dengannya, saya sempat menziarahinya walaupun untuk seketika beberapa hari sebelum ke Lubnan untuk meminta ampun dan maaf,” katanya.
Berbeza dengan nasib pembantu perubatan MALBATT 5, Koperal Noorliza Kasim, 33, yang juga seorang ibu tunggal, perasaan sedih menyelubungi jiwanya hampir setiap malam selepas terpaksa berjauhan dengan dua anaknya yang berusia enam dan lapan tahun.
“Meskipun dua anak saya tinggal bersama ibu di Melaka, setiap malam saya pasti menitiskan air mata kerana memikirkan nasib mereka yang kehilangan bapa sejak kecil selain ibu yang berada berjauhan disebabkan tugas,” katanya. - BH
No comments:
Post a Comment