My Add

Sunday 29 September 2013

Halang tindakan keganasan

Zulkefli Hamzah
 *NAJIB Tun Razak berucap pada Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-68 di New York, Amerika Syarikat, semalam. - REUTERS
NEW YORK, SABTU, 28 September, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru semua negara untuk menggunakan jalan kesederhanaan bagi menghalang tindakan keganasan di dunia Islam daripada berpanjangan yang sehingga kini telah menyebabkan hilangnya banyak nyawa dan kebebasan.

Menyifatkan keganasan dalam skala sekarang sebagai jarang-jarang berlaku dalam sejarah ummah, Perdana Menteri menegaskan, tiba masanya untuk menghentikan pembunuhan, dan sebaliknya bersungguh-sungguh menumpukan usaha bersama ke arah keamanan dan kemakmuran.

"Ini adalah beban berat yang tidak boleh lagi kita biarkan. Inilah masanya untuk kita menghentikan pembunuhan," katanya semasa berucap pada sesi Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang ke-68 di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Mesyuarat badan dunia yang mengumpulkan 193 buah negara itu, kali ini berlangsung dalam suasana banyak negara Islam dilanda konflik terutamanya antara pengikut Sunni dan Syiah.

Konflik Syria semakin memburuk, pergolakan di Mesir akibat Arab Spring terus menjadikan negara Islam itu tidak stabil manakala pembunuhan daripada pengebom berani mati masih berleluasa di Pakistan dan Lebanon sedangkan masalah utama di Palestin jauh daripada diselesaikan.

Dalam ucapan pertama Perdana Menteri di mesyuarat yang sama pada 2010, beliau mengumumkan inisiatif Gerakan Kesederhanaan Global yang kini selepas tiga tahun telah diterima oleh masyarakat antarabangsa sebagai gerakan untuk memerangi ekstremisme.

Dalam menghadapi cabaran dunia Islam sekarang dalam konteks pendekatan kesederhanaan, Najib mencadangkan dua langkah iaitu menggunakan suara majoriti umat Islam dan menyelesaikan semua masalah politik bermula dengan Syria.

Menurut beliau, wasatiyyah atau kesederhanaan adalah salah satu alat paling berkuasa untuk menghalang ekstremisme yang menggunakan agama Islam sebagai alasan untuk melakukan keganasan.

"Tugas kita (majoriti umat Islam) ialah memulihkan semula keyakinan, dengan menerangkan tentang Islam yang sebenar iaitu agama yang menganjurkan keamanan, kesederhanaan dan toleransi.

"Kita mesti sampaikan mesej itu dengan jelas agar semua orang dapat mendengarnya dan berdiri teguh menentang kumpulan minoriti yang menggunakan Islam untuk melanjutkan tindakan ganas dan ketidakadilan," jelasnya.

Dasar-dasar kesederhanaan dengan mengambil Malaysia sebagai contoh, kata Najib, boleh diamalkan di peringat nasional, serantau dan antarabangsa.

Jelas Najib, di peringkat serantau Malaysia telah mengambil usaha terhadap keamanan di selatan Filipina dan Thailand, manakala ASEAN telah membuat komitmen untuk mengambil jalan rundingan bagi menyelesaikan isu tuntutan bertindih sempadan.

"Dan di peringkat antarabangsa, kesederhanaan boleh memandu pendekatan kita untuk menghadapi cabaran besar iaitu ekstremisme, pembangunan mampan dan pertumbuhan saksama," katanya.

Untuk langkah menyelesaikan masalah politik di dunia Islam bermula dengan Syria, Najib menekankan pendirian Malaysia agar masalah di negara itu diselesaikan secara bersama melibatkan semua pihak berkepentingan.

"Kita mengalu-alukan langkah Perjanjian Rangka Kerja Amerika Syarikat-Rusia, tanpa sangsi mengecam penggunaan senjata kimia dan menyeru masyarakat antarabangsa meningkatkan usaha bagi meneroka segala pilihan diplomatik di bawah PBB untuk mengembalikan keamanan," katanya.

Bagi isu Palestin, jelas Najib, semua negara mesti bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah di kawasan bergolak itu kerana hanya dengan keamanan dapat membangun dan mengembalikan semula maruah rakyat Palestin.

Menurutnya, semua negara harus meneruskan usaha untuk membangunkan masyarakat yang lebih makmur dan kuat, yakin terhadap amalan undang-undang dan demokrasi.

Menyentuh tentang Arab Spring yang menunjukkan dunia Islam mahukan perubahan, kata Najib, kerajaan mesti menjawabnya dengan menyediakan tadbir urus yang baik untuk memerangi rasuah, mencipta peluang pekerjaan bagi mengatasi kemiskinan dan mewujudkan pertumbuhan mampan yang memberi peluang kepada setiap rakyat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment