My Add

Sunday 29 September 2013

DUN Sungai Limau: Speaker serah notis kepada SPR

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

ALOR SETAR, AHAD, 29 September, 2013: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Md Rozai Shafian hari ini menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Sungai Limau kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian penyandang, Tan Sri Azizan Abdul Razak, Khamis lepas.

Notis bersama dokumen lain seperti sijil kematian bekas Menteri Besar Kedah itu diserahkan kepada Pengarah SPR Kedah, Juhari Abdul Rahman di pejabatnya di Wisma Darul Aman dekat sini kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian Azizan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Dalam pada itu menurut Md. Rozai, pihaknya memberi sedikit masa kepada keluarga Allahyarham untuk menyerahkan dokumen lengkap berkaitan kematian Azizan kerana menghormati mereka yang bersedih.

''Penyerahan notis itu adalah mengikut perkara 53 Fasal Kecil 5 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang perlu memaklumkan kekosongan kerusi DUN kepada SPR supaya pilihan raya kecil dapat diadakan dalam tempoh 60 hari,'' katanya.

Dalam pada itu menurut Juhari, beliau akan menyerahkan notis itu kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof hari ini bagi membolehkan suruhanjaya itu mengadakan mesyuarat menentukan tarikh pilihan raya kecil DUN Sungai Limau.

Bekas Menteri Besar Kedah itu memenangi DUN Sungai Limau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dengan majoriti 2,774 undi.

Allahyarham memperoleh undi sebanyak 13,294 undi berbanding calon Barisan Nasional, Mohd Fazillah Mohd Ali 10,520 undi.

PRK yang dijangka diadakan nanti merupakan pilihan raya kecil kedua selepas DUN Kuala Besut Terengganu yang diadakan pada 24 Julai lalu berikutan kematian penyandangnya Dr. A Rahman Mokhtar. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment