My Add

Saturday 28 September 2013

Malaysia perlukan undang-undang tegas

PETALING JAYA, JUMAAT, 27 September, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia memerlukan undang-undang yang tegas bagi menangani jenayah terutama kes-kes berat demi keselamatan rakyat.

Beliau berkata, undang-undang mencegah jenayah sedia ada yang dimansuhkan telah memberi kesan kepada masyarakat.

"Saya fikir untuk masa ini, negara akan memerlukan undang-undang yang tegas. Kita boleh lihat sebaik sahaja undang-undang sedia ada dimansuhkan, lihat apa yang terjadi kerana masyarakat masih belum benar-benar membangun atau berpengetahuan tinggi untuk menghargai undang-undang.

"Jadi, apabila kita langgar undang-undang, maka kita perlu terima hukuman," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan biasiswa kepada pelajar-pelajar tajaan Yayasan Jeffrey Cheah di Universiti Sunway di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah isteri beliau, Tun Dr.Siti Hasmah Mohd. Ali dan Pengasas Yayasan Jeffrey Cheah, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah.

Dr. Mahathir mengulas Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen Rabu lalu bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat yang dimansuhkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Dr.Mahathir berkata, kewujudan banyak universiti swasta telah membantu mengurangkan beban kerajaan dalam aspek menyediakan tempat bagi memenuhi keperluan pendidikan yang semakin meningkat di negara ini.

Katanya, usaha itu juga banyak menolong pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan peringkat tinggi.

"Malah secara tidak sengaja juga Malaysia menjadi pusat untuk pendidikan di peringkat antarabangsa kerana kos di sini rendah dan ramai yang mahu mendapatkan pendidikan di sini," katanya.

Pada majlis itu, Dr. Mahathir menyampaikan biasiswa kepada 501 pelajar Universiti Sunway yang berjumlah RM17.2 juta bagi tahun ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment