My Add

Monday 30 September 2013

Melaka sasar jadikan tanaman jagung 1Malaysia Melaka (1mmc)

MELAKA, AHAD, 29 September, 2013: Kerajaan negeri Melaka menyasarkan untuk menanam 'Jagung 1Malaysia Melaka' (1MMC) melibatkan kawasan seluas sekurang-kurangnya 404.8 hektar bagi menjadikannya tanaman industri di negeri itu menjelang pertengahan tahun depan.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, setakat ini tanaman 1MMC di bawah Program Jagung One Malaysia (JOM) anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) CSR 1Malaysia itu hanya melibatkan keluasan tanah berjumlah 121.4 hektar di beberapa kawasan di Sungai Rambai, Bukit Katil dan Semabok.

Beliau berkata, usaha itu penting kerana tanaman itu mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran tempatan dan luar negara serta mampu membuka peluang pekerjaan dan menjana ekonomi penduduk setempat.

"Setakat ini tanaman 1MMC di negeri ini masih dalam kategori tanaman kontan disebabkan masalah tanah yang menyukarkan ia diperluaskan dalam skala yang besar dalam tempoh masa yang singkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis tinjauan santai Projek 1MMC di Taman Pertam Jaya Semabok sini semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Penasihat Kehormat CSR 1Malaysia, Datuk Andrew E.

Hasan berkata, situasi itu menyebabkan 1MMC hanya mampu dijual di pasaran sekitar negeri itu namun ia masih tidak mencukupi disebabkan permintaan yang tinggi berbanding pengeluaran.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pihak yang mempunyai tanah terbiar termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bagi memperluaskan tanaman berkenaan.

Mengulas lanjut program berkenaan, katanya, 1MMC mampu ditanam empat kali setahun dengan jumlah 36,000 pokok bagi setiap 0.4 hektar tanah, hanya mengambil masa 60 hari untuk dipetik serta tidak mempunyai risiko yang tinggi berbanding tanaman Mangga Delight yang pernah diusahakan sebelum ini di negeri itu.

Katanya, tanaman 1MMC juga kini mendapat permintaan untuk diperluaskan di Johor bagi penghasilan makanan haiwan selain turut mendapat perhatian dari Amerika Syarikat dan China. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment