My Add

Monday 30 September 2013

Filipina terus buru anggota MNLF

 *DUA askar Filipina memakai topeng muka semasa operasi memburu saki baki anggota kumpulan MNLF itu di Zamboanga, kelmarin. - AGENSI
MANILA, AHAD, 29 September, 2013: Operasi memburu saki baki anggota kumpulan bersenjata Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di bandar Zamboanga diteruskan hari ini, ketika bunyi tembakan masih kedengaran di banyak tempat, sehari selepas tentera mengumumkan berakhirnya konflik itu.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, operasi tersebut yang bertujuan memastikan bandar itu benar-benar bersih daripada anggota MNLF, bagaimanapun telah diambil alih oleh pasukan polis.

Namun, selepas beberapa minit tentera mengumumkan berakhirnya krisis di bandar itu, semalam, pasukan keselamatan berjaya membunuh tiga anggota MNLF dalam satu pertempuran yang menyaksikan enam askar turut cedera.

''Apa yang berlaku bukannya satu serangan terancang, mereka merupakan saki baki anggota MNLF yang cuba melarikan diri sewaktu cuba diberkas.

''Tugas ini telah selesai, kami telah memulihkan ancaman di bandar Zamboanga,'' katanya, sambil menambah kata, hanya segelintir pemberontak yang masih kekal.

Kumpulan pemberontak memasuki kawasan kediaman di bandar itu 20 hari lalu dengan menjadikan penduduk sebagai tebusan serta mencetuskan keganasan sepanjang tempoh itu dalam usaha mereka cuba menggagalkan rundingan damai antara kerajaan dan kumpulan pemisah Islam bagi menamatkan pemberontakan selama 42 tahun di selatan negara ini.

Lebih 10,000 buah kediaman dibakar dan memaksa lebih 100,000 penduduk mendirikan khemah sekitar bandar itu sebagai tempat berlindung sementara dan satu persepuluh penduduk lagi melarikan diri.

Zagala berkata, sejumlah 195 tebusan telah diselamatkan dan tiada lagi penduduk yang dipercayai ditahan kumpulan bersenjata itu. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment