My Add

Saturday 28 September 2013

Polis giatkan siasatan dua kes tembak berprofil tinggi

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 September, 2012: Polis sedang berusaha menyelesaikan siasatan kes tembak membabitkan pengasas AmBank, Hussain Ahmad Najadi dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, setakat ini, polis belum memperoleh maklumat baharu yang boleh membantu siasatan dua kes berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak agar bersabar dan memberi masa kepada polis untuk menyelesaikan kes tersebut.

"Dalam kes membabitkan Hussain, kita sedang mengesan senjata api yang digunakan oleh suspek utama kes pembunuhan itu.

"Polis juga sudah mengambil keterangan beberapa pihak bagi mendapatkan maklumat dalam usaha mengesan pembunuh Allahyarham Shaharuddin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Gotong-Royong Perdana QE 5S Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Mohmad, pihaknya akan sentiasa memaklumkan perkembangan kedua-dua kes tersebut jika ada perkembangan baharu dalam siasatan nanti.

Dalam kejadian pada 29 Julai lalu, Hussain, 75, ditembak mati manakala isterinya, Chong Mei Kuen, 49, cedera ditembak dari jarak dekat di tempat letak kereta selepas keluar dari tokong Cina di Lorong Ceylon.

Bagaimanapun, polis berjaya memberkas suspek utama kes tersebut, Sei Ngan Cai, 44, bersama dua lagi rakannya berusia 26 dan 31 tahun tetapi tidak menemui sebarang senjata api bersama mereka.

Shaharuddin pula mati ditembak pada 26 April lalu ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Dengkil untuk ke pejabatnya di Putrajaya.

Polis yang melakukan siasatan berjaya memperoleh gambar suspek yang dipercayai menembak mangsa. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment