My Add

Saturday 28 September 2013

Soi Lek digesa pertahankan jawatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

JOHOR BAHRU,  JUMAAT, 27 September, 2013: Sebanyak 19 Ketua Bahagian MCA di negeri ini meminta Presiden parti, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mempertahankan jawatannya ekoran tidak yakin dengan kepimpinan timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Naib Pengerusi MCA negeri, Jason Teoh Siew Hock berkata, mereka tidak yakin dengan kewibawaan Tiong Lai yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden.

Menurutnya, ahli-ahli peringkat akar umbi hilang kepercayaan terhadapnya berikut wujud beberapa kelemahan dalam kepimpinannya semasa memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Beliau mendakwa, bekas Menteri Kesihatan itu tidak turun padang untuk membantu calon dan tidak dapat menjalankan kempen dengan efektif.

"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Transformasi MCA, beliau gagal membawa sebarang perancangan baharu bagi melaksanakan proses transformasi parti, malah, menyebabkan pergaduhan dalam kalangan ahli jawatankuasa berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Justeru, beliau meminta Soi Lek terus menerajui parti bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli.

Siew Hock berkata, Presiden MCA itu tidak harus dipersalahkan sepenuhnya atas kekalahan teruk MCA dalam PRU-13 kerana terdapat banyak faktor lain yang menyumbang kepada keputusan itu.

"Demi kelangsungan parti, kami tidak mahu melihat jawatan tertinggi parti dicabar, sebaliknya ahli perlu memberikan sokongan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan tertinggi bagi terus memimpin parti.

"MCA kini berdepan dengan situasi politik yang sangat getir dan memerlukan pemimpin yang boleh menerajui parti. MCA tidak akan mempunyai masa depan yang baik jika dibarisi oleh pemimpin lemah," katanya.

Dalam majlis itu, sebanyak 19 daripada 26 Ketua Bahagian MCA di negeri itu hadir bagi menyatakan sokongan kepada Soi Lek untuk terus mempertahankan jawatannya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment