My Add

Sunday 29 September 2013

155 produk PKS ke Jepun

CHIBA JEPUN, SABTU, 28 September, 2013:rogram promosi dan pemasaran produk tempatan ke luar negara, Taste of Malaysia berjaya mengkomersialkan 2,636 jenis produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke pasaran 15 negara sejak diperkenalkan pada 2005.

Terbaharu, program berkenaan dianjurkan di Jepun dengan kerjasama AEON Co. (M). Bhd. (AEON Malaysia) di lima cawangan pasar raya AEON Jepun yang terletak di daerah Chiba dan Tokyo selama tiga hari bermula semalam.

Pasar raya yang terlibat dengan Taste of Malaysia ialah AEON Tsudanuma, AEON Funabashi dan AEON Makuhari yang terletak di Chiba manakala dua lagi di Tokyo iaitu AEON Shinagawa dan AEON Shinanome.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek (gambar) berkata, Taste of Malaysia sebelum ini dianjurkan di beberapa bandar utama dunia antaranya Singapura, Jakarta, London, Paris, Hong Kong, Dubai, Istanbul, Tokyo, Beijing, Shanghai dan Seoul.

Menurutnya, program itu merupakan inisiatif paling berkesan kementerian dalam usaha membantu produk PKS tempatan menerokai pasar raya terkemuka dunia.

"Taste of Malaysia kali ini melibatkan kemasukan 155 jenis produk keluaran Malaysia ke lima pasar raya AEON di sini, antaranya Mamee, Brahim, Agromas, Adabi, Julies dan mi segera E-Zee. Kami berterima kasih kepada AEON kerana memberi sokongan kepada PKS tempatan bertapak di sini.

"Kesemua 155 jenis produk ini lulus daripada saringan yang dilakukan kerajaan Jepun dan ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Kami di pihak kerajaan menyediakan platform seperti ini bagi mempercepatkan usaha mereka ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Taste of Malaysia di AEON Tsudanuma, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shaharuddin Md. Som; Pengarah Urusan AEON Malaysia, Nur Qamarina Chew Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan ASEAN AEON, Nagahisa Oyama.

Hasan berkata, selain menyediakan ruang perniagaan kepada PKS tempatan di sini, beliau difahamkan oleh pihak pengurusan AEON di Jepun, mereka bersedia menyediakan skim latihan kepada pelajar Malaysia yang berada di sini untuk melakukan praktikal ataupun bekerja.

"Dengan tujuan, apabila mereka pulang ke tanah air, pelajar ini akan menjadi usahawan yang berjaya di peringkat antarabangsa berbekalkan pengalaman yang ditimba di sini," katanya.

Sementara itu, mengulas tentang pembangunan PKS yang dirangka oleh kerajaan, beliau berkata, kerajaan mempunyai perancangan jelas dalam Pelan Induk PKS 2012-2020 yang menggariskan matlamat mencapai sumbangan sektor berkenaan sebanyak 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

"Ini adalah perubahan permainan (game changer) dalam industri. Pelan ini akan mentransformasikan PKS menjadi pemain antarabangsa pada masa depan," ujarnya.

Pada masa sama, Qamarina berkata, AEON Malaysia merancang membawa lebih banyak barangan PKS tempatan ke Jepun pada tahun depan dan juga menerokai cawangan lain pasar raya AEON seperti di bandar raya Osaka. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment