My Add

Sunday 29 September 2013

Permata Kurnia bekerjasama dengan autism speaks

 
*ROSMAH Mansor berucap pada majlis The Sixth Annual World Focus on Autism di Hotel Hilton Midtown New York, kelmarin. - BERNAMA

NEW YORK, SABTU, 28 September, 2013: Permata Kurnia, program intervensi awal untuk kanak-kanak penghidap autisme dan keluarga mereka, akan berkerjasama dengan Austism Speak, sebuah pertubuhan sains, kesedaran dan nasihat autisme terkemuka dunia, yang berpangkalan di New York City.

Kerjasama itu dijangka membantu dalam mendidik orang ramai dan meningkatkan sensitiviti masyarakat ke arah membantu individu autisme serta menyokong keperluan keluarga mereka.

Penaung Permata, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga isteri Perdana Menteri, berkata, Autism Speaks bersedia untuk memberi khidmat nasihat kepada Permata Kurnia.

Pusat Permata Kurnia untuk kira-kira 100 kanak-kanak yang menghidap autisme dijadual dibuka di Kuala Lumpur pada 2015.

''Kami bentangkan perancangan, pendekatan dan program yang bakal dijalankan untuk memastikan ia selari dengan standard antarabangsa,'' katanya kepada Bernama dan RTM selepas menghadiri The Sixth Annual World Focus on Autism di Hotel Hilton Midtown New York di sini, semalam.

Rosmah adalah seorang daripada penceramah jemputan pada majlis itu.

Autism Speaks diasaskan oleh Suzzane dan Bob Wright, datuk dan nenek kepada kanak-kanak autisme pada Februari 2005. Bob Wright merupakan bekas Naib Presiden General Electric dan Ketua Pegawai Eksekutif NBC dan NBC Universal.

Sejak penubuhannya, Autism Speaks membelanjakan lebih AS$200 juta untuk penyelidikan dan pembangunan sumber inovatif untuk keluarga.

Di peringkat global, Autism Speaks telah mewujudkan perkongsian pintar dan aktiviti berkaitan di lebih 40 negara di lima benua untuk menjalankan kajian, perkhidmatan dan memupuk kesedaran di peringkat antarabangsa.

''Autism Speaks sudah ke beberapa negara di Selatan Amerika, dan beberapa negara di Asia, tetapi belum lagi ke Malaysia. Jadi kami amat gembira kerana mereka mahu menjalinkan kerjasama dalam merealisasikan penubuhan pusat Autisme di Malaysia.

''Mereka juga setuju untuk menghadiri persidangan antarabangsa mengenai autisme yang bakal dianjurkan oleh Malaysia pada April tahun depan,'' kata Rosmah.

Terdahulu dalam ucapannya, Rosmah menerangkan mengenai Permata Kurnia, sebuah pusat autisme dan berkata, arkitek yang mereka cipta pusat itu merupakan ibu kepada kanak-kanak autisme.

Sementara itu, Rosmah turut menghadiri acara tahunan Fashion 4 Development (F4D), majlis jamuan tengah hari wanita pertama, diplomat, pemimpin industri fesyen dan golongan berpengaruh dari seluruh dunia di sebuah hotel di sini, yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Sesi ke-68.

Majlis itu dihos Evie Evangelou, yang juga presiden dan pengasas F4D. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment