My Add

Monday 30 September 2013

Medan untuk tembusi pasaran yang lebih besar

 Mohd. Shukri Abdullah
KUALA LUMPUR, AHAD, 29 September, 2013: Pameran Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2013 akan dijadikan medan kepada usahawan atau perniagaan desa untuk memasuki pasaran yang lebih besar meliputi seluruh pelosok negara.

Ini kerana menurut pengendali Halfest 2013, Shapers Malaysia Sdn. Bhd. (Shapers), terdapat banyak perniagaan industri desa di negara ini yang produknya hanya tersebar di sekitar daerah atau negeri tertentu sahaja.

Ketua Pengawai Eksekutif Shapers, Mohd. Shukri Abdullah berkata, Halfest menepati hasrat kerajaan yang mahukan ekonomi berkembang di setiap kawasan di negara selain mengukuhkan pendapatan usahawan desa.

"Selain terbuka kepada orang ramai, Halfest turut dihadiri oleh wakil-wakil dari pasar raya-pasar raya utama seperti Tesco, Mydin dan Giant untuk meninjau produk yang berpotensi dipasarkan.

"Ini membuka peluang kepada usahawan-usahawan yang menyertai Halfest untuk mencari slot pemasaran di pasar raya tersebut yang mempunyai rangkaian yang luas," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Penganjuran Halfest sudah memasuki tahun ketiga sejak bermula pada 2011. Kali ini akan diadakan di Pusat Pameran Mines, Seri Kembangan, Selangor, mulai 2 Oktober hingga 6 Oktober depan, dari 10 pagi hingga 9 malam.

Shapers menjangka pameran itu akan disertai oleh 550 peserta perniagaan dengan sasaran pengunjung seramai 50,000 orang.

Jelas Mohd. Shukri, kriteria utama sebagai peserta Halfest adalah perniagaan jenis kecil atau sederhana kecil, industri desa, berstatus halal atau dimiliki sekurang-kurangnya 60 peratus oleh orang Islam.

"Jika tidak mempunyai status halal terutama kepada industri desa, pemilik perniagaan itu wajib menyertai seminar mengenai halal yang akan diadakan di dalam Halfest ini," ujar beliau lagi.

Ruang pameran yang dibuka kepada peniaga adalah secara sewa iaitu serendah RM3,300 bagi saiz biasa untuk sepanjang lima hari pameran.

Jelas Mohd. Shukri lagi, Halfest juga dapat menemukan usahawan-usahawan kecil ini dengan pelbagai agensi kerajaan atau badan-badan penyelidikan yang dapat membantu mereka meningkatkan kualiti produk melalui penyelidikan.

"Peniaga boleh mempelajari gaya pembungkusan moden atau ketahanan produk. Malah, pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan bantuan pemasaran dan pembiayaan turut menyertai Halfest," katanya.

Mohd. Shukri menambah, panganjuran Halfest dua tahun sebelum ini boleh dikatakan membuahkan hasil dengan 62 peratus peserta kembali menyertai pameran itu pada tahun berikutnya.

Kos penganjuran Halfest membabitkan nilai hampir RM5 juta khususnya dengan sokongan serta tajaan oleh CIMB Islamic selain kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pelbagai agensi kerajaan.

Pameran itu turut diserikan dengan jemputan beberapa artis serta selebriti popular tempatan selain pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

"Kami juga melihat kepentingan Halfest adalah bagi mengurangkan penghijrahan golongan muda ke bandar-bandar besar. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment