My Add

Monday 30 September 2013

Saya tidak akan berundur - Karpal

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 September, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan bahawa beliau tidak akan berundur daripada arena politik selagi pakatan pembangkang belum berjaya membentuk kerajaan Persekutuan.

Karpal yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor percaya setiap orang pasti akan bersara tetapi memberitahu beliau belum bercadang untuk melakukannya dalam masa terdekat ini.

Beliau juga membayangkan kemungkinan untuk terus bertanding pada pilihan raya umum akan datang sekiranya dicalonkan oleh parti.

"Sudah tentu setiap orang akan melalui persaraan, tetapi saya masih belum bercadang mengundur diri dalam waktu terdekat. Saya akan bersara dalam tempoh waktu yang munasabah.

"Saya akan berjuang bersama parti sehingga impian (menawan Putrajaya) tercapai. Pada pilihan raya umum akan datang, pakatan pembangkang berpeluang merebut kuasa daripada kerajaan Pusat," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mengundi sempena pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di sini hari ini.

Pemilihan CEC parti itu dilakukan semula berikutan dakwaan terdapat masalah teknikal akibat kesilapan pengiraan undi pemilihan sebelum ini.

Terdahulu, dalam ucapannya sempena Kongres Ke-16 DAP, Karpal seolah-olah membayangkan bersedia melepaskan jawatannya dan memberi peluang kepada pemimpin muda parti itu.

"Pemimpin seperti 'kita' semakin hari semakin berusia dan sudah tiba masanya golongan muda memimpin parti.

"Apabila saya menyebut pemimpin seperti 'kita', termasuklah juga Penasihat parti, Lim Kit Siang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment