My Add

Monday 30 September 2013

Kesemua penyandang CEC keka

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM, SYUKRI SHAARI dan BADRUL HAFIZAN MAT ISA

 Liew Chin Tong, Gobind Singh

KUALA LUMPUR, AHAD,  29 September, 2013: Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP yang juga Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong membuat kejutan apabila menduduki tempat pertama dalam pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu di sini hari ini.

Chin Tong mendapat 1,438 daripada 1,725 perwakilan. Pada awalnya, sebanyak 68 calon bertanding bagaimanapun 17 daripadanya menarik diri manakala dua lagi isytihar keluar parti memungkinkan hanya 49 calon disahkan bertanding.

Menarik perhatian, kesemua 20 anggota CEC yang terpilih dalam pemilihan Disember lalu sebelum ia dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), terpilih sekali lagi, walaupun berubah dari segi kedudukan.

Namun begitu kedudukan dalam jawatankuasa kerja tidak berubah apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng biar pun menduduki tempat kelima dengan 1,304 undi dipilih semula sebagai Setiausaha Agung DAP.

Sementara Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Sing kekal sebagai Penasihat manakala Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh dipilih sebagai Pengerusi.

Dalam pemilihan semula tersebut, Kit Siang menduduki tempat kedua dengan 1,436 undi manakala Karpal di tempat ketiga dengan 1,421 undi.

Kejayaan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo memperolehi 1,409 undi melengkapkan penguasaan dua pasangan anak beranak bagi kedudukan kedua hingga kelima.

Malah kemenangan Gobind juga menarik perhatian memandangkan beliau berjaya memperbaiki kedudukannya dalam pemilihan kali ini daripada tempat ketujuh ke tempat kelima.

Seperti diduga, keputusan pemilihan juga dilihat tidak mencerminkan DAP sebuah parti berbilang kaum apabila pemimpin Melayu dan India terus terpinggir. Ia berikutan hanya seorang calon Melayu dan seorang calon India berjaya menduduki kerusi CEC.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari yang menduduki tangga ke-12 dengan 1,132 undi dan Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran yang mendapat 1,088 undi untuk menduduki tempat ke-15.

Daripada 49 calon yang bertanding ia melibatkan penyertaan tujuh calon Melayu dan 11 calon India.

Bagaimanapun kejayaan Zairil sudah diduga memandangkan, dalam pemilihan lalu beliau diisytiharkan menduduki tempat ke-20, selepas DAP secara tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi. Ketika pemilihan asal Zairil menduduki tempat ke-39.

Selain itu, ramai pemerhati politik melihat biar pun Chin Tong menduduki tempat pertama dalam pemilihan kali ini, ia dilihat tidak membawa apa-apa makna dalam usaha menyekat penguasaan ‘Dinasti Lim’ yang dikaitkan dengan Guan Eng dan Kit Siang.

Apatah lagi tiga daripada lima pemimpin yang digelar ‘lima harimau’ yang didakwa tidak senang dengan pucuk pimpinan DAP menduduki tangga tercorot.

Mereka ialah Boo Cheng Hau yang berada di kedudukan 18, Nga Kor Ming (19) dan Ngeh Koo Ham (20). Dua lagi pemimpin yang turut berada dalam kumpulan tersebut ialah Chow Kon Yeow dan Teng Chang Khim.

Kon Yeow yang menduduki tempat ke-13 dalam pemilihan lalu berjaya menduduki tempat kelapan manakala Chang Kim yang sebelum ini berada di kedudukan kesembilan, kini menduduki tempat ke-10.

Isu pemilihan CEC DAP tahun lalu, menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan selepas parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 delegasi yang merupakan ahli sah untuk mengundi dalam pemilihan tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment