My Add

Monday 30 September 2013

BN ketengah calon boleh diterima pengundi - Mukhriz

ALOR SETAR, ISNIN, 30 September, 2013: Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan senarai nama calon yang boleh diterima dan disenangi penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau untuk dipertimbangkan mewakili parti pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi berkenaan tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir Mahathir berkata, beliau menerima banyak pandangan mengenai ciri-ciri calon untuk dipertimbangkan seperti anak tempatan dan berlatar belakang agama selain tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan calon yang pernah bertanding pada pilihan raya umum sebelum ini.

Beliau berkata, BN mempunyai ramai calon yang layak diketengahkan dan pihaknya akan menyenarai pendek tiga nama bersama latar belakang mereka untuk diserahkan kepada pucuk kepemimpinan parti membuat keputusan.

''Kita mempertimbangkan setiap pandangan dan segenap sudut. Pada peringkat ini kita sedia menghadapi sebarang kemungkinan, belum tahap menyenarai pendek kerana mempunyai beberapa calon hebat untuk ditonjolkan,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Kedah sempena PRK DUN Sungai Limau di sini malam tadi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak di Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada 26 September lalu akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Bekas Menteri Besar Kedah itu memenangi DUN Sungai Limau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dengan majoriti 2,774 undi.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, usaha BN untuk menawan DUN Sungai Limau yang disandang Azizan sejak lima penggal lalu bukan mustahil untuk dilakukan meskipun menyedari hakikat kawasan itu merupakan kubu kuat Pas.

Katanya, BN menawarkan peluang kepada pengundi di kerusi itu supaya bersama-sama berada dalam arus pembangunan perdana Kedah yang sedang dirancang oleh kerajaan negeri ketika ini.

Tambah beliau, persiapan jentera BN terutama dalam DUN berkenaan sudah pun bermula dengan komitmen tinggi diperlihatkan di semua peringkat.

''Kita akan berusaha sedaya mungkin dan lebih kuat untuk meyakinkan rakyat supaya memihak kepada BN pada kali ini. Saya akui ia satu cabaran getir tetapi tidak mustahil dan perlu menerima hakikat kita bukan parti pilihan dalam pilihan raya kecil ini walaupun menguasai kerajaan negeri,'' katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment