My Add

Sunday 29 September 2013

Bumbung masjid runtuh lagi

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

KUALA TERENGGANU, AHAD, 29 September, 2013: Insiden runtuhan bumbung terus berlaku di negeri ini dan terbaharu melibatkan ruang solat kedua masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal dekat sini awal pagi ini.

Insiden yang disedari berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu menjejaskan kira-kira 40 peratus bahagian masjid bernilai kira-kira RM6 juta yang baru siap dan digunakan kira-kira dua tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika diminta mengulas berkata, ia suatu lagi insiden yang sangat dikesali dan memalukan serta meminta pihak Jabatan Kerja Raya membuat penjelasan.

Sementara itu, bilal masjid, Man Mat, 61, memberitahu, dia merupakan orang pertama yang pergi ke masjid, kira-kira pukul 5 pagi dan terkejut melibat bumbung ruang solat kedua sudah roboh seolah-olah kena bom.

"Saya tanya penduduk yang tinggal paling hampir dengan masjid ini dan mereka beritahu ada bunyi dentuman kuat kira-kira pukul 4 pagi tadi (semalam)," katanya ketika ditemui.

Jelasnya, dia dan jemaah lain bernasib baik kerana insiden itu berlaku pada awal pagi dan tidak ada sesiapa berada di dalam masjid yang boleh memuatkan 1,000 jemaah itu ketika kejadian.

"Masjid ini baru dua tahun digunakan dan sepanjang tempoh ini tidak ada tanda atau bunyi pelik melainkan sedikit kebocoran tetapi ia tidak serius," katanya.

Pada 20 Mei lalu, 12 jemaah masjid yang baru sahaja menyelesaikan solat isyak nyaris maut setelah bumbung hadapan masjid di Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu runtuh.

Manakala pada 3 Oktober 2009, bumbung bahagian hadapan Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman juga runtuh menyebabkan tiga mangsa cedera.

Selain itu, pada 2 Jun 2009, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menelan belanja RM292.9 juta telah siap dibina pada Mei 2008 dan digunakan dalam penganjuran Sukan Malaysia turut roboh.

Sebahagian struktur bumbung stadium berkenaan sekali lagi roboh pada berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi pada 20 Februari lalu yang menyebabkan tiga pekerja parah manakala dua lagi pekerja cedera ringan. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment