My Add

Saturday 28 September 2013

280 organisasi tandatangani CIP sejak 2010 - SPRM

KUALA KANGSAR, JUMAAT, 27 September, 2013: Sebanyak 280 organisasi kerajaan dan swasta telah menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) sejak tahun 2010, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sutan.

Beliau berkata, langkah itu sebagai manifestasi sokongan organisasi berkenaan kepada usaha suruhanjaya itu membanteras gejala rasuah.

"CIP adalah satu komitmen dan ikrar terbuka agensi dan syarikat swasta untuk memerangi rasuah. Ia juga adalah usaha untuk memperkukuhkan integriti organisasi masing-masing," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani CIP oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Abdul Halim Hamed di sini hari ini.

Ia disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Sutinah berkata ikrar terbuka itu dapat memperkukuhkan lagi usaha memerangi rasuah secara lebih sistematik, berstruktur dan berterusan.

Beliau berkata, CIP mempunyai lima prinsip iaitu mempromosikan nilai ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik serta memperkukuhkan mekanisme kawalan dalaman dengan memasukkan elemen yang menyokong pencegahan rasuah.

Tiga lagi prinsip ialah pematuhan undang-undang serta peraturan yang berkaitan dengan memerangi rasuah, membanteras sebarang bentuk amalan rasuah dan menyokong inisiatif pencegahan rasuah yang diusahakan oleh kerajaan dan SPRM. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment