My Add

Sunday 29 September 2013

Jenayah juvana meningkat 26 peratus di Pulau Pinang

BUTTERWORTH, SABTU, 28 September, 2013: Kes jenayah kekerasan yang melibatkan juvana di Pulau Pinang meningkat sebanyak 26 peratus bagi sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata ia adalah sesuatu yang membimbangkan dan orang ramai terutama ibu bapa perlu bersama-sama membendung jenayah di kalangan juvana.

"Dari Januari sehingga September tahun ini, sebanyak 92 kes jenayah melibatkan juvana berbanding hanya 66 kes bagi tempoh sama tahun lepas, peningkatan sebanyak 26 peratus.

"Kes-kes jenayah terutama berkaitan kekerasan itu berlaku di dalam dan di luar sekolah dan polis perlukan kerjasama daripada semua pihak bagi membendungkan kegiatan berkenaan," katanya.

Abdul Rahim berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar untuk murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Pulau Pinang di Dewan Sree Mariamman, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Datuk Syed Jaafar Syed Ali dan Pengarah Pelajaran Negeri Pulau Pinang Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin.

Kira-kira 1,000 pelajar sekolah Tamil di seluruh Pulau Pinang menyertai seminar sehari itu.

Sementara itu, mengulas mengenai khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan yang diterimanya, Abdul Rahim berkata siasatan terperinci mengenai kes berkenaan sedang dijalankan.

"Ada saya kata saya takut?. Di sini saya nak tegaskan saya langsung tidak gentar. Kalau saya takut, tak payahlah saya jadi ketua polis negeri," katanya.

Selasa lepas, Abdul Rahim membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, selepas menerima kiriman SMS berbaur ugutan daripada individu tidak dikenali.

Antara kandungan SMS berkenaan ialah "Hello kepala Penang mau kasi ingat U sudah ambil saya punya kawan lima orang, U jangan ingat U The Best." - BERNAMA

No comments:

Post a Comment