My Add

Saturday 28 September 2013

Najib gesa China elak konflik dalam tangani isu sempadan

NEW YORK, JUMAAT, 27 Sept Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, China seharusnya menangani tuntutan bertindih sempadan wilayahnya dengan negara-negara tetangga sebagai masalah antara rakan dan bukan dengan cara mencetuskan konflik dengan mereka.

Perdana Menteri walau bagaimanapun percaya China akhirnya akan menyedari bahawa adalah menjadi keperluan bagi negara itu untuk berbaik-baik dengan jiran tetangganya kerana pendekatan itu juga bakal memberikan keuntungan jangka panjang kepada mereka.

"Mereka ada masalah dengan Korea, Jepun, Vietnam dan Filipina. Dan jika mereka ada masalah dengan Malaysia, dunia akan mula tertanya-tanya adakah semua negara itu salah," katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa menjawab soalan Fareed Zakaria, tentang kebangkitan China dan kegelisahan jiran-jiran tetangga negara itu dalam forum anjuran Council of Foreign Relations (CFR) di sini.

Fareed adalah hos forum berkenaan.

Najib berkata. walaupun kebangkitan China bermakna pasaran yang besar kepada produk Malaysia dan aliran pelaburan dari China tetapi terdapat isu yang perlu ditangani berkaitan sikap negara itu.

Menurutnya, Malaysia mengambil jalan berdialog dengan China berkaitan tuntutan bertindih bagi memastikan kedua-dua belah pihak tidak mengalami kerugian.

"Daripada melihat ini sebagai permainan campur tolak yang menyebabkan kita semua terjerumus dalam konflik, yang tentu sekali ini bukanlah cara untuk mendekati seorang rakan. Itulah mesej saya kepada China," tegasnya.

Ditanya tentang Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang menjadi topik kontroversi di Malaysia, Najib menjelaskan, kepentingan rakyat diutamakan dan akan mendapatkan pandangan mereka sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, kerajaan bukan sahaja mahu TPPA tersebut boleh merangsang perdagangan dan pelaburan tetapi perjanjian itu mesti mendapat sokongan daripada rakyat.

"Ini kerana TPPA bukan hanya perdagangan dan pelaburan semata-mata tetapi melibatkan banyak kepentingan domestik yang memerlukan sokongan rakyat," katanya sambil menambah jika ada fleksibiliti, perjanjian itu mungkin boleh ditandatangani. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment