My Add

Saturday 28 September 2013

Malaysia rancang wujud Majlis Benih ASEAN

*ISMAIL Sabri Yaakob (kanan) bertukar memorandum persefahaman bersama Timbalan Menteri Pertanian China, Niu Dun pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN ke-35, di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 September, 2013: Malaysia merancang mewujudkan Majlis Benih ASEAN bagi meningkatkan mutu serta penghasilan tanaman makanan ruji serta mengatasi masalah kekurangan sumber pertanian dalam rantau Asia Tenggara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perancangan untuk mengadakan majlis tersebut masih di peringkat perbincangan dan akan dibawa ke tahap seterusnya dalam masa terdekat.

"Kertas cadangan penubuhan majlis ini merupakan satu inisiatif daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam usaha mempertingkatkan kualiti serta menambahkan hasil pengeluaran tanaman makanan.

"Kita akan mendapatkan pandangan serta persetujuan daripada semua negara ahli supaya penguatkuasaan Majlis Benih ASEAN ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin," katanya dalam sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara ASEAN dan Kementerian Pertanian China sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN ke-35 di Hotel Sheraton Imperial, dekat sini hari ini.

Sebelum itu, Ismail Sabri turut melancarkan laman web kerjasama kesihatan Haiwan ASEAN sebagai satu langkah merungkai isu kesihatan ternakan dan masalah jangkitan penyakit yang sering mengganggu produktiviti serta dagangan haiwan di sekitar negara ahli.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri menambah, ahli mesyuarat AMAF akan turut mengkaji cadangan penyeragaman cop pensijilan produk pertanian negara ASEAN terhadap pengeluaran hasil bagi memudahkan proses import dan eksport barangan dalam kalangan negara terlibat.

"Hal ini juga akan diberi perhatian memandangkan usaha ini mampu menjamin faedah kepada pertumbuhan sektor ekonomi Asia Tenggara dengan lebih mantap dan berkesan.

"Diharap dengan pelbagai perancangan yang bakal dilaksanakan ini dapat mengeratkan lagi kerjasama negara ASEAN untuk memastikan hubungan baik diteruskan dan sektor pertanian dapat diperkukuhkan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment