My Add

Monday 30 September 2013

Wanita hamil antara tiga maut

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

 *BEBERAPA lelaki melihat keadaan kereta yang merempuh sebuah motosikal yang mengorbankan Mohd. Nor dan Wan Ayuzita (gambar kecil) serta seorang lagi mangsa di Kilometer 23, Jalan Paka-Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, kelmarin.
DUNGUN , AHAD, 29 September, 2013: Impian seorang tukang rumah untuk menatap kelahiran anak keduanya tidak kesampaian selepas isterinya yang sedang sarat mengandung tujuh bulan dan anak sulung mereka maut dalam nahas yang mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 23, Jalan Paka-Al-Muktafi Billah Shah di sini, petang semalam.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.40 petang itu, mangsa terbunuh ialah Wan Ayuzita Wan Jusoh, 23, dan anaknya, Mohd. Amizie Azmi, 18 bulan, dan seorang penunggang motosikal, Mohd. Nor Samat, 57.

Kedua-dua beranak itu menaiki kereta jenis Proton Iswara dipandu suami kepada Wan Ayuzita, Azmi Mohamad, 41. Turut bersama mereka ialah dua anak saudara Azmi yang berusia 11 dan 14 tahun tetapi ketiga-tiga mereka hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Zailani Yaacub memberitahu, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Azmi terbabas semasa melalui lokasi tersebut lalu melanggar penghadang di sebelah kanan jalan.

Katanya, insiden itu menyebabkan keretanya melantun ke kiri dan melanggar motosikal tersebut dari arah bertentangan.

"Berikutan itu penunggang motosikal berkenaan tercampak sejauh 10 meter dan mengalami kecederaan parah di kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian.

"Isteri serta anak Azmi yang berada di tempat duduk di sebelah pemandu pula tersepit dan turut maut di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun di sini malam tadi.

Menurut Ahmad Zailani, ketika kejadian, kesemuanya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Lubuk Lesung, Air Putih, Kemaman selepas berkelah di pantai Seberang Pintasan.

Sementara itu, anak kepada Mohd. Nor, Mohammad Keeri, 19, memberitahu, dia dan bapanya baru pulang dari kebun menuju ke rumah mereka di Felda Kerteh 4 dengan menunggang motosikal berasingan.

"Sampai di satu selekoh saya tengok sebuah kereta hilang kawalan menuju ke arah kami dan kami cuba mengelak tetapi kereta itu terus langgar bapa," katanya.

Jelasnya, dia tergamam melihat kejadian dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu kerana ayahnya yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia sejurus selepas kejadian. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment