My Add

Saturday 28 September 2013

Rahim Rahman angkat sumpah Senator penggal kedua

*PENGERUSI Eksekutif Rahim & Co Chartered Surveyors Sdn Bhd, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman menurunkan tandatangan selepas mengangkat sumpah bagi penggal kedua sebagai Senator di Dewan Negara di Kuala Lumpur hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR,  JUMAAT, 27 September, 2013: Pengasas syarikat hartanah Rahim & Co. Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman hari ini mengangkat sumpah sebagai senator bagi penggal kedua di Dewan Negara.

Majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Abdul Rahim, 73, bekas Timbalan Presiden Sedunia Persatuan Hartanah Antarabangsa (1991-1992) kali pertama mengangkat sumpah sebagai senator pada 3 Mei 2010.

Berasal dari Kampung Aur Duri, Kota Baharu, Kelantan, Abdul Rahim melanjutkan pelajaran di Hammersmith College of Art and Building, London pada 1962 dan College of Estate Management, London pada 1965, serta mempunyai kelayakan profesional iaitu Jurukur Berkanun.

Abdul Rahim, yang pernah memegang jawatan antaranya Timbalan Pengerusi Umno Bahagian Pasir Mas pada 1992, berkahwin dengan Datin Zainab Mohd Osman pada 1965 dan dikurniakan tiga anak perempuan serta seorang lelaki.

Abdul Rahim ketika ditemui pemberita mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengesyorkan beliau menjadi semula Ahli Dewan Negara buat kali kedua selepas khidmat penggal pertamanya tamat pada 3 Mei lepas.

Beliau turut berjanji akan menumpukan sepenuh tenaga memberikan perbahasan berkualiti demi kepentingan negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment