My Add

Saturday 28 September 2013

Gaza terima tempias krisis di Mesir

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 September, 2013: Krisis di Mesir bukan sahaja mendatangkan musibah kepada penduduk negara itu malah memberi kesan buruk kepada rakyat Palestin di Gaza.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, lebih memburukkan keadaan apabila tentera Mesir menutup pintu masuk serta memusnahkan terowong bawah tanah yang menghubungkan Gaza dan Mesir di sempadan Rafah.

"Tindakan menutup sempadan oleh pihak berkuasa Mesir itu sama seperti berpakat dengan kuasa penceroboh Israel untuk agenda membunuh penduduk Gaza secara perlahan-lahan," kata Mohd. Azmi.

Beliau ditemui selepas melancarkan buku laporan Slow Death: The Collective Punishment of Gaza Has Reached A Critical Stage yang turut dihadiri jurucakap Hamas di Malaysia, Ahmad An Najar.

Laporan berkenaan hasil kajian sebuah badan bukan kerajaan, Euro-Mid Observer yang berpusat di United Kingdom dan diterbitkan secara bersama oleh Mapim dan Palestinian Return Centre UK.

Laporan itu turut memuatkan 10 fakta implikasi penutupan pintu masuk ke Gaza antaranya sejak Julai lalu, sejumlah 65 peratus isi rumah di Gaza menghadapi krisis bekalan makanan.

Penutupan pintu masuk berkenaan turut menyebabkan bekalan elektrik hanya boleh dibekalkan selama 12 jam sehari ia juga bakal menjejaskan sejumlah 90 peratus bekalan air bersih.

Sehingga Ogos lalu 35.5 peratus penduduk menganggur dan akan bertambah buruk menjelang hujung tahun ini jika pintu masuk Gaza terus ditutup.

Sementara 30,000 orang bakal kehilangan pekerjaan kerana sektor pembinaan turut terjejas sejak Julai lalu.

Malahan ekonomi di Gaza mencatatkan kerugian AS$460 juta dalam tempoh dua bulan lalu.

Mohd Azmi berkata, buku laporan itu akan diedarkan kepada 192 ketua kerajaan di seluruh dunia. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment