My Add

Saturday 28 September 2013

'Saya tetap teruskan perjuangan'

Oleh SHEILA RANI CHANDRASEKARAN

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 27 September, 2013: Keputusan mahkamah membenarkan DAP mengadakan Kongres Khas pada Ahad ini tidak bermakna parti itu dapat menyembunyikan kebenaran buat selama-lamanya.

Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, Seremban, A. David Dass berkata, walaupun keputusan mahkamah memihak kepada DAP ia tidak akan menghalang beliau daripada meneruskan perjuangannya.

"Saya akur dan hormat keputusan mahkamah, namun ini tidak bermakna parti itu menang dan boleh sembunyikan kebenaran untuk selama-lamanya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman David bagi menghalang DAP daripada mengadakan Kongres Khas parti itu, Ahad ini.

Hakim Datuk Rosnaini Saub membatalkan saman David dengan kos RM5,000 selepas bersetuju bahawa keputusan yang dibuat oleh sesebuah parti politik tidak boleh dicabar.

David telah memfailkan permohonan injunksi pada 10 September lalu bagi menghalang pemilihan khas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang dijadual diadakan Ahad ini.

Permohonan injunksi itu dikemukakan atas alasan pemilihan khas tersebut adalah bertentangan dengan perlembagaan parti berkenaan.

"Saya memfailkan kes ini di mahkamah kerana mahukan satu pemilihan yang telus, malah Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan parti itu untuk mengadakan pemilihan semula iaitu Kongres Kebangsaan, bukannya Kongres Khas," katanya.

Menurut beliau, kegagalan parti memaklumkan kepada 753 ahlinya untuk menghadiri pemilihan CEC pada 15 Disember lalu tidak sepatutnya berlaku.

"Jika pemimpin parti bersikap adil mereka sepatutnya memberi ruang kepada 753 ahli untuk mengambil bahagian dalam pemilihan itu," katanya.

Beliau turut menggesa satu biro pengaduan untuk ahli khususnya akar umbi DAP ditubuhkan bagi mendengar dan mengkaji segala masalah dalaman parti. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment