Kewajaran, perjuangan sah Bangsamoro diiktiraf
MANILA, KHAMIS, 27 Mac, 2014: Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) yang penuh bersejarah, ditandatangani di sini pada Khamis, yang memberi pengiktirafan terhadap kewajaran dan perjuangan sah rakyat Bangsamoro serta hasrat mereka untuk menentukan masa depan politik melalui satu proses demokratik yang akan menjamin identiti dan kemakmuran mereka.
Selain memberi kuasa berpemerintahan sendiri yang bermakna kepada Bangsamoro, perjanjian damai yang diusahakan Malaysia ini juga menyaksikan berakhirnya permusuhan bersenjata antara kerajaan Filipina (GPH) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
"Ia akan membuka laluan ke arah mencapai penyelesaian politik secara rundingan berkaitan Persoalan Bangsamoro, dan dengan itu menamatkan konflik bersenjata antara GPH dan MILF, serta memupuk keamanan dan kestabilan di rantau dunia sebelah sini," demikian antara kata-kata yang terkandung dalam dokumen lima muka surat mengenai usaha untuk mencapai keamanan di selatan Filipina itu.
Menurut dokumen itu lagi, pihak yang menandatangani perjanjian itu komited untuk melindungi dan meningkatkan hak rakyat Bangsamoro serta penduduk lain di Bangsamoro berhubung maruah manusia; merapatkan jurang ketidakadilan sosial, ekonomi dan politik; dan memperbetulkan ketidakadilan sejarah yang dilakukan terhadap Bangsamoro selama ini.
Ditandatangani dengan disaksikan Presiden Filipina Benigno Simeon Aquino III dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Malacanang, perjanjian damai ini juga menjurus ke arah pemansuhan ketidaksamaan ekuiti budaya melalui modaliti yang dipersetujui bagi mengagihkan secara sama rata kekayaan dan kuasa politik demi kebaikan bersama. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment