My Add

Sunday, 16 March 2014

PDRM, ATM tingkat rondaan cegah jenayah di lokasi tumpuan pelancong

KUALA LUMPUR, SABTU, 15 Mac, 2014: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meningkatkan rondaan cegah jenayah bersama terutama di lokasi tumpuan pelancongan di seluruh negara mulai hari ini bersempena Tahun Melawat Malaysia.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah PDRM, Datuk Ayub Yaakob berkata, pihaknya telah mengumumkan penambahan 26 lokasi baharu rondaan di seluruh negara pada 25 Februari lalu.

Jelasnya, pertambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kawasan rondaan cegah jenayah bersama antara dua pasukan keselamatan itu kepada 70 lokasi.

"Bersempena Tahun Melawat Malaysia tahun ini, kita akan memberi fokus kepada lokasi-lokasi pelancongan utama agar pelancong atau orang awam bukan sahaja berasa gembira melancong sebaliknya yakin dan selamat sepanjang berada di lokasi.

"Dengan adanya kerjasama dalam rondaan ini, kehadiran pasukan keselamatan di tempat tumpuan pelancongan dapat ditingkatkan dan pencegahan terhadap perbuatan jenayah juga dapat dikurangkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Inisiatif Rondaan Bersama PDRM-ATM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di hadapan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini hari ini.

Tambah Ayub, pihaknya percaya rondaan dan peningkatan kehadiran pasukan keselamatan seperti itu akan berjaya meningkatkan keyakinan masyarakat termasuk pelancong serta pelabur asing.

"Ini bukan sekadar rondaan biasa kerana kita telah mengarahkan anggota terlibat untuk berinteraksi dengan orang awam termasuk pelancong untuk mendapatkan apa sahaja maklumat dan maklum balas terhadap keselamatan di lokasi terlibat.

"Kita juga sedang dalam perancangan untuk membuat integrasi dengan lain-lain unit dalam PDRM termasuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi meningkatkan rondaan di lokasi pelancongan terlibat," katanya lagi. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment