My Add

Sunday, 16 March 2014

Pengumuman PM legakan keluarga
 * SELAMAT Omar, 60, (duduk, dua kanan), iaitu bapa kepada seorang penumpang MH370, Mohd. Khairul Amri, 29, kelihatan sebak sewaktu ditemu bual oleh wartawan selepas menonton sidang akhbar Najib Tun Razak mengenai pesawat MH370 di Hotel Everly, Putrajaya, semalam. - MINGGUAN/ZAKI AMIRUDDIN
PUTRAJAYA, SABTU, 15 Mac, 2014: Setelah lapan hari tiada perkembangan menggembirakan, pengumuman terkini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berhubung perkembangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 ternyata memberi kelegaan kepada keluarga.

Bapa kepada salah seorang penumpang, Khairul Amri, 29, iaitu Selamat Omar, 60, menyifatkan pengumuman itu sebagai berita yang di luar jangkaan, secara tidak langsung memberi harapan baharu kepada keluarganya.

"Saya amat berterima kasih dengan pengumuman Perdana Menteri sebentar tadi yang jelas memaklumkan bahawa pesawat itu dapat dikesan.

"Ini menunjukkan pesawat itu dalam keadaan yang baik. Kita amat berharap penumpang semua dalam keadaan selamat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menonton pengumuman Perdana Menteri berhubung perkembangan terkini pesawat MH370 di Hotel Everly di sini hari ini.

Bapa kepada jurutera pesawat di sebuah syarikat swasta itu mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan di atas segala usaha yang dijalankan.

"Saya berharap kerajaan akan meneruskan operasi mencari pesawat MH370 sehingga berjaya.

"Operasi mengesan pesawat ini bukanlah sesuatu yang mudah, kerajaan telah berusaha dan kita dapat melihat negara luar turut membantu termasuk Amerika Syarikat dan China," katanya.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, pada pukul 12.41 pagi Sabtu lalu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment