Potensi pusat data serantau di Iskandar Malaysia
NUSAJAYA, RABU,26 Mac, 2014: Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menaruh keyakinan terhadap Iskandar Malaysia yang berpotensi sebagai pusat data serantau bertaraf dunia berdasarkan faktor prasarana, bakat tempatan dan kedudukan geografinya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, kewujudan dan perkembangan industri pusat data adalah bahagian yang penting dalam aspirasi ekonomi digital Malaysia yang kini menunjukkan peningkatan berterusan dengan pendapatan lebih RM630 juta pada tahun lalu atau naik 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, perkembangan positif sebegini dalam masa yang singkat memberi keyakinan bahawa Malaysia mampu mencapai status hub pusat data bertaraf dunia menjelang 2020.
Sebagai agensi yang mengetuai projek ini, peranan MDeC adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran prasarana pusat data dan pembekal perkhidmatan melalui pelbagai platform. Ini akan meningkatkan peluang kepada pemain industri untuk mempamerkan perkhidmatan dan nilai," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersempena Kongres Pusat Data Asia Tenggara dan Cloud di sini hari ini. Yang turut hadir adalah Pengarah MDeC untuk Penguasaan Digital, Wan Murdani Wan Mohamad; Pengarah Ekonomi dan Pelaburan IRDA, Engku Ahmad Kamel Engku Taib dan Pengarah Bersekutu Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Yong Yoon Kit.
Kongres selama dua hari itu merupakan penganjuran kali ketiga, bertujuan mengenengahkan Asia Pasifik sebagai rantau yang menyaksikan perkembangan industri pusat data selain mempamerkan potensi negara sebagai destinasi untuk tujuan tersebut.
Menurut Badlisham, kini terdapat 23 pusat data di bawah Projek Permulaan ketiga (EPP3) di bawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang menjana pendapatan RM630 juta pada tahun lalu, melepasi nilai sasaran sebanyak RM562 juta atau 12 peratus. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment