My Add

Saturday 1 March 2014

Rayuan pendakwaan keputusan bebas Anwar minggu depan

PUTRAJAYA, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 6 dan 7 Mac ini.

Tarikh tersebut ditetapkan sendiri oleh Hakim Datuk Aziah Ali sewaktu pengurusan kes itu di kamar hakim, di sini hari ini.

Hadir pada prosiding tersebut ialah peguam yang mengetuai rayuan tersebut, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin bagi pihak pendakwaan.

Peguam Karpal Singh hadir bagi pihak Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Rayuan yang sepatutnya didengar pada 12 Februari lalu tertangguh selepas pihak pembelaan ingin mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut yang menolak permohonan mereka untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat kes liwat yang berlaku pada 2008, Supritendan Judy Blacious Pereira.

Rayuan bagi permohonan terbabit akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 4 Mac ini.

Anwar berhasrat untuk memanggil semula bekas pegawai polis itu bagi membolehkan beliau mencabar kredibiliti saksi pendakwaan itu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu yang membatalkan petisyen Judy untuk menjadi peguam bela dan peguam cara.

Bagaimanapun, sehari sebelum pendengaran rayuan berhubung permohonan untuk memanggil semula Judy, Mahkamah Rayuan akan mendengar sekali lagi permohonan Anwar dalam percubaan ketiganya untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwatnya.

Permohonan yang difailkan pada 25 Februari lalu, iaitu tiga hari sebelum pendengaran rayuan kes liwat itu dibuat selepas gagal dalam dua permohonannya sebelum ini untuk menyingkirkan Muhammad Shafee di mahkamah tersebut mahupun di Mahkamah Persekutuan.

Kali ini, alasan yang digunakan Anwar ialah Muhammad Shafee pernah didenda RM5,000 oleh Majlis Peguam selepas didapati melanggar peruntukan di bawah Profesion Undang-Undang (Publisiti) 2001 oleh Badan Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara pada 5 Oktober 2012. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment