SPAD gantung lesen 10 pemandu teksi sebab tidak guna meter
KUALA LUMPUR, JUMSST, 21 Mac, 2014: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung lesen 10 pemandu teksi selama tiga bulan berkuat kuasa daripada 1 April ini kerana tidak menggunakan meter.
Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata ini adalah usaha berterusan suruhanjaya itu dalam membenteras pemandu teksi tidak bertanggungjawab.
"SPAD serius dalam mengambil langkah-langkah menghukum pemandu-pemandu teksi tidak bertanggungjawab dan kami tidak teragak-agak untuk menggantung lesen mereka jika didapati bersalah," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Beliau berkata SPAD juga akan membatalkan lesen pengusaha-pengusaha teksi jika pemandu mereka ditangkap melakukan kesalahan yang sama.
"SPAD berpendirian tegas supaya para pengusaha bertanggungjawab terhadap tindak-tanduk pemandu-pemandu mereka. Para pengusaha bertanggungjawab untuk menunjukkan mereka telah mengambil langkah konkrit untuk menyaring, memantau, melatih dan mendisiplinkan pemandu-pemandu mereka," katanya.
SPAD sebelum ini mengumumkan ia akan menerima rakaman video sebagai bukti daripada orang awam jika pemandu teksi enggan menggunakan meter.
Aduan boleh dibuat menerusi laman Twitter, Facebook dan emel rasminya di aduan@spad.gov.my atau talian 1-800-88-7723. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment