My Add

Monday 26 September 2011

Biar Pas dan DAP selesaikan isu hudud - Zahid Hamidi


POLEMIK pelaksanaan hukum Hudud di negara ini sepatutnya dibiarkan kepada Pas dan DAP sahaja kerana kedua-dua parti dalam pakatan pembangkang tersebut yang menimbulkan isu berkenaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian kerajaan dalam isu berkenaan sudah jelas dan ia bukan menjadi isu lagi

."Pelaksanaan hukum hudud di negara ini belum dapat dilaksanakan kerana faktor kesesuaiannya dengan masyarakat majmuk di negara ini.

"Sebagai orang Islam, keraguan terhadap hukum Hudud tidak timbul sama sekali, cuma negara kita rakyatnya pelbagai kaum,'' katanya selepas melancarkan Program 'Kami Anak 1Malaysia' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang dekat Bagan Datoh, semalam.

Program itu melibatkan penyertaan 2,000 pelatih dan 500 bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau mahu bekas pelatih PLKN menyertai program berjalan tanpa henti di seluruh negara yang akan bermula 14 Oktober ini.

Katanya, program itu sebagai sokongan kepada kerajaan kerana berjaya mewujudkan program PLKN yang terbukti baik untuk generasi muda negara di samping sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pas timbul hudud raih simpati rakyat

Di IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata,
tindakan Pas menimbulkan semula isu Hudud jelas semata-mata untuk meraih simpati rakyat kepada parti itu.

Ini kerana sokongan rakyat terhadap parti itu semakin tercalar dan keliru terutama orang Melayu yang marah kepada parti itu, katanya.

Beliau berkata, ini menjadikan Pas semakin terdesak disebabkan beberapa isu yang ditimbulkan pemimpin Pas, termasuk Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu yang menyifatkan pengganas komunis dalam peristiwa Bukit Kepong sebagai pejuang tanah air.

“Mereka (Pas) mainkan balik isu hudud sebagai satu strategi politik bagi melindungi beberapa isu yang besar sebelum ini dengan harapan membolehkan mereka mendapat sokongan orang Melayu.

“Mereka juga sekali gus mahu memerangkap UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan menuduh UMNO tidak menyokong Hudud apabila isu hudud dibangkitkan semula,” kata Zambry selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di kediaman Menteri Besar, semalam.

Zambry mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berkata, tindakan Pas membangkitkan semula isu hudud bertujuan menarik kembali sokongan rakyat khususnya orang Melayu kepada parti itu.

Menurut Najib, undang-undang sedia ada yang dipraktikkan kerajaan hari ini sudah mengambil kira prinsip ‘Magasid Syariah’ iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

Zambry berkata, UMNO tidak mempertikaikan hudud sebagai undang-undang tuhan tetapi pelaksanaan perlu mengambil kira konsep keadilan yang perlu dilaksanakan dalam konteks masyarakat negara ini.

Hanya omong kosong, retorik politik

Di KUALA LUMPUR: Pelaksanaan hukum Hudud di negara ini adalah mustahil selagi Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) tidak dipinda.

Justeru Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, sebarang percakapan berhubung perkara tersebut adalah omong kosong dan retorik politik semata-mata.

"Akta ini membataskan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan sebarang undang-undang berkaitan jenayah syariah dengan hanya boleh mengenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali sebatan, atau mana-mana kombinasi hukuman-hukuman tersebut sahaja.

"Ia adalah satu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan ia berkuatkuasa di seluruh Persekutuan atau seluruh negara, termasuk di negeri-negeri.

"Jadi, sebarang pindaan kepada akta tersebut juga perlu dibuat di Parlimen dan mendapat persetujuan majoriti ahli Parlimen,'' katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz yang tetap mahu menubuhkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum hudud dan tidak peduli sekiranya DAP meninggalkan gabungan pembangkang.

Realitinya tegas Musa, Hudud adalah mustahil dilaksanakan, kecuali akta tersebut dipinda dengan memasukkan peruntukan membenarkan kerajaan negeri melaksanakan hukuman Hudud.

Ini kerana ujarnya, sebarang undang-undang yang diluluskan oleh kerajaan negeri akan terbatal sekiranya ia berlawanan (ultra-vires) dengan peruntukan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen.

"PGSM menyokong sebarang usaha untuk melaksanakan undang-undang syariah di negara ini termasuk hukuman hudud dan qisas kerana ia adalah hukum Allah, namun ia perlulah dilihat dalam konteks semasa dan berdasarkan realiti," jelasnya.

Beliau berkata, Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sebarang undang-undang negeri yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlawanan dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang negeri itu adalah terbatal setakat mana ia berlawanan dengan undang-undang persekutuan itu.

Nik Aziz sudah 'terlupa' kenyataan Karpal Singh

Di BATU PAHAT: Kalau dia (Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Nik Azi) hendak laksanakan Hudud, langkahlah mayat Karpal Singh terlebih dahulu. demikian sindir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menyifatkan Nik Aziz sering 'terlupa' ketika membuat kenyataan mengenai pelaksanaan hukum Hudud.

Karpal sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak yang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara Islam perlu terlebih dahulu melangkah mayatnya.

Selain mengingatkan Nik Abdul Aziz terhadap kenyataan Pengerusi DAP itu, Mohd. Puad turut menyindir pemimpin Pas itu yang dianggapnya terlupa dengan resolusi Muktamar Pas yang menggugurkan perjuangan membentuk negara Islam.

"Jadi, pada saya memang Nik Aziz ini terlupa dengan resolusi Muktamar Pas lepas yang menggugurkan perkataan perjuangan Islam, membentuk negara Islam di Malaysia dan diganti dengan negara berkebajikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Meraikan Bakal Haji dan Pembukaan Akaun Tabung Haji Murid-murid Sekolah Rendah kawasan Parlimen Batu Pahat di Dewan Senggarang, semalam.

Seramai 300 murid dari lima sekolah dipilih membuka akaun sebanyak RM10 setiap seorang manakala kira-kira 200 bakal haji mendapat pelbagai sumbangan antaranya kain ihram, telekung, kad i-Talk dan wang tunai 100 riyal.

Mohd. Puad berkata, Karpal dan DAP yang menjadi penghalang utama untuk melaksanakan hukum hudud dan bukannya Perlembagaan Persekutuan semata-mata.

"Kalau kita pinda Perlembagaan Persekutuan pun, yang dikatakan tidak kondusif untuk melaksanakan hudud, DAP dan Karpal akan bantah," katanya.

Sementara itu, beliau yakin masyarakat dapat menilai mengenai masalah ketiadaan keselarian dalam pakatan pembangkang dan parti itu tidak mampu menerajui negara.

Beliau juga yakin kenyataan Nik Abdul Aziz mengenai isu hukum Hudud adalah di luar kehendak Pas memandangkan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga kini belum membuat sebarang ulasan tentang kenyataan Mursidul Am Pas itu.

Beliau juga menyatakan, pakatan pembangkang kini terperangkap dengan pelbagai kerenah yang dibuat oleh Pas dan DAP. - Utusan.

No comments:

Post a Comment