MALAYSIA bertuah kerana mempunyai pemimpin berwawasan dan berpandangan jauh serta peka dengan keperluan rakyat dan berjaya mengurus negara dengan baik, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Katanya, ciri-ciri dan sikapa yang dimiliki pemimpin negara juga menyebabkan Malaysia dihormati.
Berucap merasmikan pesta konvokesyen ke-24 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, malam tadi, beliau berkata rakyat harus bersyukur kerana pemimpin ini juga mampu mengurus ekonomi negara dengan sangat baik sehingga Malaysia mencapai tahap kemakmuran yang memberangsangkan.
"Sebab itu kita masih perlukan pemimpin yang boleh mengurus, bukan pemimpin yang hanya pandai berceramah. Ceramah baik tetapi masalah tidak boleh selesai dan kerja tidak berjalan sekiranya asyik berceramah.
"Kadang-kadang kita pergi dengar ceramah untuk tenangkan jiwa tapi yang dapat ialah caci maki dan kata-mengata," kata Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.
Beliau berkata, adalah tidak benar untuk mengatakan sesiapa saja yang menjadi kerajaan akan mencapai kejayaan yang sama seperti dikecapi sekarang.
"Mereka kata semua ini sudah jadi tugas kerajaan. Alasan sama juga boleh kita gunakan bahawa ibubapa bertanggungjawab menjaga dan mendidik anak mereka tetapi tidak semua bertanggungjawab. Ada yang abaikan terus tanggungjawab mereka sebagai ibubapa," katanya.
Mukhriz berkata, hakikatnya kejayaan Malaysia hari ini adalah kerana dasar yang diperkenalkan kerajaan yang memerintah sejak merdeka sehingga hari ini.
Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau gembira dengan kejayaan UUM kerana hampir 75 peratus graduannya mudah mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat belajar.
Pesta konvokesyen itu berlangsung sehingga 7 Oktober adalah yang terpanjang dalam sejarah UUM bagi meraikan 8,556 graduannya yang bakal menerima ijazah masing-masing dalam 12 sesi dari 1 hingga 6 Oktober. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment