My Add

Tuesday, 27 September 2011

Tanggungjawab Raja-Raja Melayu


Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM


Raja Dr.Nazrin Shah sebak selepas menyampaikan titah diraja pada Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam. – Utusan/JEFRI IRAN
YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan bahawa teras utama konsep Raja Berperlembagaan yang telah diguna pakai sejak negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu ialah Raja-Raja Melayu mempunyai peranan dan fungsi yang amat penting dalam sistem pemerintahan negara.

Seri Paduka bertitah, Raja-Raja Melayu juga khususnya berperanan memelihara kedudukan orang Melayu, penduduk pribumi serta agama Islam yang disifatkan sebagai mampu menyelesaikan masalah rakyat pelbagai kaum.

Titah Tuanku Mizan, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan pula telah menetapkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dalam keadaan harmoni dan damai.

‘‘Kepelbagaian kaum dan etnik yang merupakan ciri atau pola utama demografi di negara kita pula telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik dan menariknya kepelbagaian ini disulami dengan kontrak sosial yang mendasari Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap rakyat untuk memelihara dan mengekalkan keharmonian hidup bersatu padu dalam masyarakat yang berbilang kaum ini,” titah Seri Paduka ketika merasmikan Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua‘adzam Shah; Sultan Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sementara itu Seri Paduka bertitah, usaha-usaha ke arah memartabat dan memperkasakan sistem perundangan syariah dan institusi penguatkuasaan agama agar setanding dengan perundangan sivil hendaklah diteruskan.

Justeru titah Yang di-Pertuan Agong, adalah penting untuk mewujudkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi yang berkait rapat dengan perundangan syariah bagi memastikan tugas yang dilaksanakan lebih mudah, cepat dan berkesan.

‘‘Sistem Raja Berperlembagaan memberi pengiktirafan raja sebagai Ketua Agama. Selaras dengan itu, usaha-usaha untuk memartabat dan memperkasakan sistem perundangan syariah agar setanding dengan perundangan sivil di negara ini hendaklah diteruskan,” titah baginda.

Dalam titah ucapannya, Tuanku Mizan turut menyentuh fungsi dan peranan majlis agama Islam negeri yang perlu diperkasakan bagi menjamin kelestarian pembangunan ekonomi umat Islam.

Untuk itu titah Seri Paduka, strategi yang berkesan perlu dibangunkan bagi membuktikan keupayaan pihak majlis meningkatkan kualiti kehidupan umat Islam.

‘‘Jalinan kerjasama perlu dirangka serta digiatkan membabitkan pelbagai pihak terutama untuk memajukan perdagangan dan pelaburan dalam sektor sedia ada. Selain itu, fungsi zakat sebagai rukun Islam ketiga juga seharusnya diberikan perhatian serius

‘‘Adalah penting untuk mengkaji kaedah ke arah mempromosi zakat di samping memperhebatkan galakan menghulur sedekah jariah supaya kedua-dua elemen ini dapat dimanfaatkan fungsinya sebagai salah satu jentera penggerak sosioekonomi yang dapat menjana kekayaan bagi umat Islam sejagat sepanjang zaman,” titah Seri Paduka.

Mengenai kemajuan masyarakat, baginda mengenal pasti isu pendidikan merupakan kepentingan masyarakat Islam masa kini.

‘‘Satu masalah yang membelenggu kemajuan kita ialah lemahnya komitmen kita dalam pelaburan pendidikan. Masalah ini perlu diatasi supaya masyarakat Islam tidak terus ketinggalan.

‘‘Oleh itu beta berharap peranan yang dilaksanakan oleh Lembaga Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Islam atau Lepai akan terus diperkukuhkan bersama majlis agama Islam negeri demi kepentingan pendidikan agama Islam di negara ini,” titah Seri Paduka.

No comments:

Post a Comment