ANGGOTA perwakilan MCA yang menghadiri perhimpunan agung tahunan parti itu hujung minggu ini berkemungkinan mengesahkan pendirian pucuk pimpinan untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan jika parti itu menerima keputusan lebih buruk dalam pilihan raya umum akan datang, kata Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha.
Beliau berkata, pendirian parti itu adalah satu daripada beberapa resolusi Perhimpunan Agung MCA ke-58, yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada 2 Oktober.
"CC (Jawatankuasa Pusat) telah pun mengesahkannya. Sekarang, kami hanya mahu keputusan itu turut disahkan anggota perwakilan,” katanya.
Pemuda MCA akan minta pemansuhan Seeksyen 15 AUKU
Sementara itu, Pemuda MCA akan menggesa agar Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dimansuhkan pada Perhimpunan Agung tahunannya Sabtu ini, kata Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong.
Beliau berkata, pemansuhan Seksyen 15 AUKU itu adalah antara 10 resolusi yang akan dibentang pada perhimpunan agung tahunan ke-47 pergerakan itu yang akan diadakan di Dewan SGH di Sentul.
Seksyen 15 AUKU menghalang penuntut universiti di Malaysia terlibat dalam kegiatan politik.
"Kami akan minta sama ada Seksyen 15 AUKU dipinda atau dimansuhkan kerana kami percaya mahasiswa perlu diberi lebih banyak ruang untuk menyuarakan pandangan mereka. Terdapat persetujuan di kalangan Pemuda MCA untuk menyokong pemansuhan Sekyen 15 itu,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment