My Add

Friday, 30 September 2011

Setiausaha Agung DAP dedahkan kelemahan sendiri - Shahrir

JOHOR BAHRU:  Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memburuk-burukkan Johor sebenarnya mendedahkan kelemahan dirinya sebagai seorang pemimpin sebuah negeri.


Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad berkata, sikap itu menunjukkan beliau bukan seorang pemimpin yang bijaksana.

"Setiausaha Agung DAP itu sebenarnya terlupa yang dia mewakili rakyat Pulau Pinang. Dia cuba bergurau dan membodek 'orang putih' (media asing) dengan memburuk-burukkan negara khususnya Johor, tetapi tanpa disedari ia turut mengaibkan dirinya ibarat 'tepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri'.

"Dia ke luar negara dalam lawatan rasmi dan mewakili DAP dengan jawatan Setiausaha Agung. Jadi, apa jua tindak tanduk atau fiil (perangai) pasti mengundang persepsi negatif sama ada terhadap kepimpinan atau parti yang diwakili," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Guan Eng yang didakwa memburuk-burukkan Johor dalam satu temuramah dengan media asing di Singapura baru-baru ini.

Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, kecintaan Guan Eng terhadap negara boleh dipersoalkan kerana sanggup memburuk-burukkan negara sendiri kepada orang asing dan semua rakyat negara ini terutama penduduk Johor boleh menilai sendiri kewibawaan dan tahap kebijaksanaannya.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Zainal Abidin Othman berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu perlu menjaga negeri sendiri dan jangan 'sibuk menjaga tepi kain orang' kerana sejak DAP mentadbir negeri itu rakyat yang tidak puas hati mengadakan pelbagai demonstrasi.

"Cukup-cukuplah Guan Eng buat tohmahan terhadap Johor, jika negeri ini tidak selamat kenapa warga Singapura boleh datang dan kembali semula ke negeri mereka dengan selamat.

"Cakap sahaja apa yang mereka (warga Singapura) mahu? Melabur, berhibur, membeli-belah dan menziarahi keluarga, di Johorlah mereka dapat menikmati kepuasan yang dikehendaki," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau.- Utusan

No comments:

Post a Comment