Oleh Ramli Hussin
LEBIH10 pemilik kebun yang mengusahakan tanaman getah sejak 20 tahun lalu kesal dengan tindakan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh, yang didakwa menghantar kakitangannya memusnahkan tanaman milik mereka di Kampung Chelah Chat di Pasir Puteh.Berikutan tindakan itu, berlaku pergaduhan antara kedua-dua pihak apabila sebuah jentolak digunakan bagi memusnahkan sebahagian anak pokok getah milik mereka.
Menurut laporan Berita Harian, pemilik kebun, Mohd Noor Deraman, 53, mendakwa dia menerima notis secara lisan daripada seorang kakitangan pejabat berkenaan untuk memusnahkan tanaman anak getahnya yang berusia tiga tahun dengan alasan meneroka tanah kerajaan negeri secara haram.
Beliau yang tinggal di Kampung Batu Hitam dekat sini, turut mendakwa tindakan pejabat berkenaan dilihat bermotif politik apabila puluhan hektar tanah diusahakan dengan tanaman getah tidak jauh dari kebunnya tidak diambil tindakan kerana menjadi penyokong kuat kerajaan negeri.
"Saya sudah mengeluarkan belanja sehingga RM30,000 untuk mengusahakan kebun berkenaan bagi menyara keluarga dan amat kecewa dengan tindakan mereka yang tidak prihatin dengan nasib penduduk," katanya ketika ditemui.
Mohd Noor berkata, pertelagahan yang hampir tercetus membabitkan pemilik kebun dan pekerja Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh akhirnya dapat dikawal apabila mereka bersetuju berunding dengan wakil pejabat berkenaan.
"Hasil rundingan itu, kami diarah membuat permohonan secara bertulis, tetapi pihak pejabat tanah tidak memberi sebarang jaminan sama ada permohonan itu akan diluluskan atau sebaliknya.
"Wakil pejabat tanah itu berkata ia bergantung kepada keputusan pihak atasan dan mereka hanya menjalankan tuga," katanya.
Bekas penghulu, Nik Soh Ismail, 53, berkata tindakan pihak berkuasa itu bercanggah hasrat kerajaan negeri mewujudkan sebuah kerajaan berkebajikan seperti dilaungkan pemimpin PAS di negeri itu.
Kehadiran 15 pegawai dan anggota penguat kuasa memusnahkan kebun milik penduduk itu tidak mencerminkan hasrat kerajaan PAS Kelantan untuk menjaga kebajikan rakyat, sebaliknya ia menganiaya kami, katanya.
Sementara itu, Ketua Jajahan Pasir Puteh, Nazran Mohamed ketika dihubungi berkata, pihaknya bertindak demikian kerana mendapat arahan kerajaan negeri supaya bertindak terhadap mereka yang menceroboh tanah secara haram.
"Pekebun sebelum ini tidak membuat surat permohonan untuk mengusahakan tanah itu," katanya.
No comments:
Post a Comment