Oleh Amin Ridzuan Ishak, Umi Nadirah Abdul Rahman dan Syed Azwan Syed Ali
POLIS Johor kecewa dan tersinggung dengan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang mempertikaikan tahap keselamatan negeri ini hingga menyifatkannya tidak selamat dikunjungi warga Singapura kerana mereka mudah menjadi mangsa penculikan.Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata kenyataan Guan Eng berdasarkan rakaman audio disiarkan TV3 itu, disifatkannya sangat keterlaluan.
Beliau berkata, kenyataan terbabit secara tidak langsung menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab pemimpin itu.
Dakwaan kononnya rakyat Singapura akan diculik di Johor, tidak boleh diterima kerana polis berusaha gigih sepanjang masa mengekang sebarang perbuatan jenayah di negeri ini.
Malah, jenayah di Johor juga menunjukkan penurunan dan kita terus berusaha memastikan pelancong dan sesiapa saja di negeri ini selamat menjalani kehidupan masing-masing.
Sebagai ketua mengawal selia undang-undang dan penguatkuasaan di Johor, saya sangat kecewa dengan tohmahan itu, katanya pada sidang media di Johor Bahru, semalam.
Kelmarin, TV3 menyiarkan rakaman audio suara didakwa milik Guan Eng yang kedengaran berkata: Anda tidak perlu bimbang tentang keselamatan apabila datang ke Pulau Pinang. Di Johor, jika anda seorang warga Singapura, anda mungkin diculik.
Guan Eng didakwa melemparkan tohmahan itu ketika majlis makan tengah hari bersama Persatuan Wartawan Asing Singapura di Pusat Konvensyen Raffles, Singapura pada 12 Ogos lalu.
Mohd Mokhtar berkata, semua pihak sepatutnya membuat kenyataan lebih bijaksana dan berwaspada kerana kenyataan negatif seperti itu bakal memberi implikasi tidak sihat kepada kegiatan ekonomi dan keharmonian umum.
Seramai kira-kira 40,000 rakyat Singapura ke negara ini setiap hari, malah Iskandar Malaysia sudah membawa masuk RM76 bilion pelaburan asing dengan 40 peratus daripadanya sudah direalisasikan.
Ini jelas membuktikan Johor selamat untuk menarik pelabur asing dan sebarang kenyataan tanpa keterangan atau bukti konkrit mengenai negeri ini amat mengecewakan, katanya.
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan, pula mendesak DAP mengambil tindakan terhadap Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kerana tindakannya sama seperti Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M Manoharan yang mencemarkan imej negara dengan mengeluarkan kenyataan bendera Jalur Gemilang perlu ditukar.
Jawatankuasa Disiplin DAP menggantung keahlian parti Manoharan enam bulan kerana berpendapat ulasannya adalah serius.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar II Ketua Menteri Pulau Pinang, Wong Kim Fei, berkata BERNAMA perlu menarik balik laporan berhubung dakwaan Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan Johor bukan negeri yang selamat kerana penuh dengan jenayah.
Sehubungan itu, katanya, BERNAMA perlu memohon maaf tanpa syarat dengan serta-merta, termasuk menyiarkan permohonan maaf itu jika tidak ingin tindakan undang-undang diambil terhadap agensi berita berkenaan.
Katanya, Guan Eng juga menafikan dihubungi portal berita tempatan, The Mole mengenai dakwaan itu dan menyatakan beliau enggan mengulas seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan. - Berita Harian.
No comments:
Post a Comment