My Add

Monday 26 September 2011

BN Pulau Pinang mahu SPRM siasat projek SPICE

BARISAN Nasional (BN) Pulau Pinang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat perjanjian projek Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang Bawah Tanah (SPICE) di Relau, yang didakwa merugikan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan berkata, pembinaan SPICE di tapak Pusat Arena Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) itu dilihat hanya memberi kelebihan dan keistimewaan kepada pemaju iaitu, Eco Meridian Sdn Bhd.

Katanya, satu laporan berhubung perkara berkenaan akan dibuat secara rasmi kepada SPRM oleh Pemuda BN Pulau Pinang dalam masa terdekat.

“Terlalu banyak keistimewaan diberikan kepada pihak pemaju projek terbabit dan ia menimbulkan persoalan kerana ada di antara syarat perjanjian yang ditandatangani pada 19 Ogos lepas akan menyebabkan hasil berjumlah RM488 juta yang sepatutnya dinikmati rakyat Pulau Pinang hilang begitu saja.

“Kami juga mempunyai alasan yang kukuh terdapat perjanjian yang boleh dipertikaikan yang membabitkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), kerajaan negeri dan pemaju, jadi kami mahu SPRM menyiasat perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Pasar Taman Chai Leng, dekat Butterworth, hari ini.

Dr Hock Nan yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, BN turut meragui penjualan tanah di kawasan pembinaan SPICE kerana ia dijual lebih murah daripada harga pasaran semasa kepada pemaju bagi tujuan pembinaan sebuah hotel. – Bernama

No comments:

Post a Comment