My Add

Friday, 30 September 2011

Muhyiddin mahu UPM bantu soal jaminan makanan cukup


SERDANG: Selain terus menjadi universiti berteraskan pendidikan dan pembangunan pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) juga perlu memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan menguruskan soal jaminan kecukupan makanan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, soal itu kini menjadi isu nasional kerana sudah banyak inisiatif kerajaan dijalankan untuk memastikan negara mencapai tahap sara diri bagi beberapa komponen makanan.

"Pengalaman ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dahulu, telah menggariskan beberapa strategi dan melakarkan pelan untuk menentukan negara mampu mengeluarkan sejumlah hasil makanan diperlukan atas kadar
berpatutan, dan kalau boleh mencukupi.

"Lima tahun di situ, saya kira sampai hari ini sasaran itu masih belum dicapai lagi. Masalah itu bukan hanya di negara kita malah turut berlaku di peringkat gobal," katanya ketika berucap sempena lawatan kerja ke UPM di sini, hari ini.

Muhyiddin berpendapat peranan UPM amat kritikal dan penting dalam membantu menjalankan penyelidikan untuk memodenkan sektor pertanian dan berharap usaha tersebut terus dipertingkatkan.

"Selain dapat menghasilkan penyelidikan pelbagai baka beras, amalan pengurusan tanaman bersifat lestari, kajian mengenai usaha pengurangan jurang penghasilan tahap sara diri juga perlu dipertingkatkan," katanya.

Muhyiddin berkata, menjadi satu cabaran besar kepada UPM untuk membantu menjadikan sektor pertanian dapat bertahan secara lestari dengan tenaga manusia yang harus menjadi penggerak utamanya.

"Apakah sektor pertanian benar-benar boleh dimodenkan untuk meningkatkan hasil, walaupun ia melibatkan kos besar tetapi untuk jangka masa panjang ia lebih ekonomik dan mengeluarkan hasil yang banyak," katanya.

Timbalan Perdana berkata, peranan Hospital Veterinar juga perlu diperluaskan lagi kerana dengan kepakaran yang ada, ia berupaya membantu mengembangkan sektor penternakan negara.

"Ia sekali gus dapat memastikan bekalan daging dalam negara mencukupi. Lebih baik jika dapat dipertingkatkan untuk masa depan, kerana sekarang keluaran daging negara sekitar 80 peratus, selebihnya terpaksa diimport," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment