My Add

Thursday 29 September 2011

'Mansuh ISA, kerajaan tidak kompromi isu keselamatan'

KERAJAAN tidak akan berkompromi berhubung soal keselamatan, ketenteraman awam dan kedudukan negara dalam menggubal undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketika memberi jaminan tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bagaimanapun berkata beberapa peruntukan di bawah ISA akan dikekalkan, misalnya berkaitan dengan proses pemulihan terhadap orang tahanan. 


"Daripada segi pemulihan, itu adalah satu kekuatan yang amat diperlukan di mana kita ada kepakaran... saya percaya tidak akan disentuh (tidak dipinda).


"Tetapi daripada segi tempoh tahanan... dengan dunia yang serba canggih, mungkin tempoh itu tidak perlu begitu lama. Tetapi perkara itu sedang difikirkan dan digubal oleh Peguam Negara," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan 25 anggota Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang diketuai Presidennya, Datuk Ibrahim Ali di Putrajaya hari ini. 

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia pada 15 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara. 


Dua undang-undang baru akan digubal di bawah 'semangat serta payung' Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah. 

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pertemuan hari ini dengan PERKASA, yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar adalah bagi memberi penjelasan kepada pihak berkaitan berhubung dengan pemansuhan ISA. 

"Perbincangan kita dengan PERKASA begitu rasional, tidak beremosi langsung dan perkara pokok ialah bagaimana kita mampu mengimbangi hak asasi dan juga isu-isu berhubung kait dengan keselamatan negara," katanya. 

Beliau berkata, penggubalan dua undang-undang baru itu merupakan transformasi dan perubahan yang dilakukan kerjaaan bagi memastikan undang-undang negara sentiasa relevan seiring dengan landskap dunia sekarang. 

Sementara itu, Ibrahim turut menyerahkan memorandum kepada Hishammuddin, yang antara lain pandangan daripada anggota badan bukan kerajaan itu berhubung keputusan kerajaan memansuhkan ISA. 

Dalam memorandum tersebut, Ibrahim berkata, pihaknya menyatakan bahawa soal keselamatan tidak boleh dikompromi dan ia mengatasi isu hak asasi manusia atau kebebasan bersuara di negara ini. 

Beliau juga berharap kerajaan tidak terburu-buru dalam menggubal undang-undang baru itu dan pada masa sama, rakyat perlu bersabar dan tidak emosi. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment