Tun Dr Mahathir mahu pemimpin PAS komen bukan Islam boleh dihukum
TANYA Nik Aziz dia nak laksana hukum hudud ini ke atas orang Islam saja atau orang bukan Islam pun kena. Yang itu saya nak tahu sebab dia belum kata lagi, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.Malah, tegasnya, jika benar Nik Aziz mahu melaksanakan hukuman itu, ia perlu diterangkan dengan terperinci termasuk jenis huku-man yang akan dilaksana.
Mesti adil jika mahu jatuhkan hukuman, bila potong tangan orang Islam, kena potong tangan orang bukan Islam juga. Jika ada dua orang pencuri, seorang Islam dan seorang lagi bukan Islam, yang Islam kena potong tangan, tapi yang bukan Islam dua bulan penjara.
Saya nak tahu Nik Aziz nak buat apa. Suruh dia kata kami nak laksana hukum hudud ke atas orang bukan Islam sama, katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan Ke-50 di Seremban, semalam. Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, sebelum ini bertegas meneruskan pelaksanaan hukum Hudud di negeri itu walaupun Kelantan dikatakan dalam keadaan tidak kondusif bagi pelaksanaannya.
Kenyataannya mengundang reaksi Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempersoalkan hasrat Kelantan melaksanakan juga hudud kerana bertentangan Perlembagaan Persekutuan.
Di KOTA BHARU, pakar undang-undang Perlembagaan yang juga Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, berkata pelaksanaan hukum Hudud tidak dapat dilakukan berikutan kekangan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa, Jenayah) sedia ada yang hanya memperuntukkan denda, penjara dan sebatan kepada pelaku kesalahan jenayah.
Perlembagaan Persekutuan tidak sekat bidang kuasa syariah dan perundangan negeri tetapi yang menyekat badan perundangan negeri ialah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), (hukuman berdasarkan akta itu) memperuntukkan denda RM5,000, tiga tahun penjara dan enam sebatan, katanya.
Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Rozali Isohak, menyifatkan tindakan PAS membangkitkan semula isu hukum hudud sebagai memenuhi janji pada pilihan raya 1990 , sedangkan hakikatnya tidak berkemampuan melaksanakannya.
Di KUALA TERENGGANU, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, mencabar PAS atau DAP keluar pakatan pembangkang berikutan pendirian berbeza terhadap isu hudud dan pembentukan negara Islam seperti dinyatakan Nik Aziz.
Jika kedua-dua parti itu tidak sanggup keluar pakatan pembangkang, bererti mereka hanya bermain politik menjelang pilihan raya umum, katanya selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Keenam Kolej Teknologi Bestari di Taman Tamadun Islam semalam.- Berita Harian.
No comments:
Post a Comment