My Add

Friday 30 September 2011

Kesepakatan hanya pembohongan - Puad Zarkashi

KOTA BHARU: Keputusan pakatan pembangkang untuk tidak melaksanakan Hudud di Kelantan membuktikan bahawa kesepakatan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya satu pembohongan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, apa yang pasti keputusan itu menyerlahkan bahawa matlamat perjuangan mereka amat berbeza dan tidak boleh disatukan.

Beliau berkata, perkara tersebut juga timbul disebabkan pembangkang tidak mempunyai perancangan untuk masa depan malah keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya mereka mengambil alih pentadbiran negara.

"Sebab itu, saya yakin bahawa ini membuktikan kesepakatan yang mereka sebut hanya satu pembohongan, malah Buku Jingga pun tidak sebut Hudud.

"Apabila perkara ini mula-mula timbul dahulu, Anwar Ibrahim sokong dan dalam mesyuarat semalam tidak capai persetujuan, mereka tolak cadangan Pas laksana Hudud.

"Mereka tidak mampu tadbir negara dalam keadaan begini. Sepatutnya perkara ini sudah lama selesai, kata ada kesepakatan, bohong dan pura-pura belaka.

"Yang jadi penghalang Pas bukan Perlembagaan Persekutuan, itu hanya kambing hitam, penghalang sebenar adalah DAP," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kali Ke-36 dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ke-35 Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra di sini, semalam..

Media hari ini melaporkan Majlis Pimpinan Pakatan (MPP) Pembangkang tidak akan melaksanakan hukum Hudud seperti yang dicadangkan Pas kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Mohd. Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, Pas perlu berhenti meneruskan propaganda Hudud kerana ia akan mengelirukan rakyat.

"Saya lebih yakin Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak berpegang kepada semangat permuafakatan partinya sendiri. Pas sendiri gugurkan negara Islam dan menggantikannya dengan negara berkebajikan.

"Antara hujah mereka adalah belum sesuai lagi, Nik Aziz lupa sebab itu timbul Hudud. Saya berpendapat tidak timbul alih isu tetapi tiada perancangan konkrit dalam pakatan pembangkang untuk perjuangan mereka," katanya - Utusan

No comments:

Post a Comment