My Add

Friday, 30 September 2011

Pendirian pembangkang memang sudah dijangka

KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang berdolak-dalik dalam isu hudud sehingga tidak berani membuat satu pendirian yang jelas sama ada menyokong atau menolaknya, memang telah dijangka walaupun bermesyuarat selama empat jam malam tadi.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, isu hudud hanyalah sandiwara politik bermusim yang sengaja ditimbulkan Pas, setelah menyedari sokongan orang Melayu terhadap parti itu kian terhakis.

Sehubungan itu, beliau mencabar Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya membawa negeri tersebut keluar daripada kongkongan pakatan pembangkang dan melaksanakan hukum hudud jika benar-benar Mursyidul Am Pas itu ikhlas.

"Saya sudah jangka semua ini. Ini semua sandiwara politik tetapi secara peribadi saya melihat ada keikhlasan di hati Nik Abdul Aziz, namun bukan pada kepimpinan tertinggi Pas,'' katanya kepadaUtusan Malaysia di sini semalam.

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng juga menganggap kegagalan pembangkang membuat ketetapan jelas dalam isu tersebut membuktikan permainan sandiwara politik.

Katanya, pendirian yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam semalam hanyalah kenyataan untuk mengambil hati dan bukan satu pendirian jelas seperti yang dituntut oleh rakyat.

"Pembangkang melalui Anwar sengaja membuat kenyataan sedemikian demi menimbulkan polemik yang berterusan. Pada masa yang sama, dia takut untuk menyatakan pendirian sebenar kerana sedar antara DAP dan Pas tidak boleh sependapat dalam isu hudud," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan berkata, isu hudud yang kembali ditimbulkan bertujuan mengalih pandangan rakyat daripada isu moral Anwar dan juga keceluparan Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Hakikat itu jelasnya telah terbukti, apabila orang ramai tidak lagi bercakap soal perkara berkenaan kerana tertarik dengan cadangan bermusim Pas untuk melaksanakan Hudud.

No comments:

Post a Comment