PAKATAN Rakyat (PR) akan menyelesaikan isu terbaru membabitkan hasrat Pas mahu mengadakan hukum Hudud pada mesyuarat kepimpinan, Rabu ini. Menurut laporan Sinar Harian, Isnin, Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat Majlis Kepimpinan PR diadakan untuk membincangkan Bajet 2012 yang akan dibentangkan bulan depan tetapi kepimpinan perikatan turut bersetuju untuk menyentuh perkara berkaitan isu Hudud. Justeru, Anwar bersetuju kesemua parti perlu mencapai konsensus berhubung isu sensitif yang melibatkan pendirian DAP dan Pas sejak sekian lama. “Mesyuarat telah dijadualkan untuk membincangkan soal bajet dan juga isu Hudud ,” katanya. Bagaimanapun Anwar menekankan bahawa isu Hudud bukan sesuatu yang baru, malah Pas juga jelas dengan pendirian mereka. Kelmarin, Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh menggesa PR memanggil mesyuarat tergempar kepimpinan dengan segera bagi menyelesaikan kontroversi berkaitan hukum Hudud. Pada perkembangan sama, Pakatan juga kesal dengan Barisan Nasional (BN) kerana memperalatkan isu Hudud sebagai permainan politik, sedangkan pemimpin mereka tidak pernah berhasrat membincangkan isu ini secara tuntas dan serius. Katanya, lebih malang lagi media yang dikuasai pemerintah pula mencanangkan undang-undang syariah sebagai suatu warisan zaman primitif. “Harus diingat, pandangan beberapa kerat pimpinan UMNO yang mempersenda hukum Islam ini sesungguhnya tidaklah mewakili umat. “Waima mutakhir ini beberapa pimpinan UMNO memperlihatkan diri sebagai jagoan memperjuangkan Islam dan sering kali menuduh pimpinan PR sebagai pengkhianat agama dan bangsa, sedangkan yang sering dilaung-laungkan oleh pimpinan UMNO-BN sekadar retorik,” katanya Menurut Anwar, perlaksanaan hukum Islam sewajarnya mengambil kira keberkesanan pentadbiran mahkamah syariah negara ini memastikan keadilan untuk semua. Menyentuh persoalan keadilan untuk semua, katanya perlaksanaan undang-undang syariah semestinya menjamin hak bukan Islam tidak dicerobohi serta dizalimi. Justeru, Pakatan akan berpegang pada permuafakatan yang tertera dalam Buku Jingga. Menurut Anwar lagi, meskipun beliau menghormati keputusan kerajaan negeri Kelantan yang mahu melaksanakan hudud, namun ia mesti tertakluk kepada beberapa perkara. “Pertamanya persoalan Maqasid al Syariah, Matlamat Utama Syariah, iaitu menjamin keadilan untuk semua. “Justeru adalah baik melihat beberapa aspek perundangan syariah yang berjaya dilaksanakan di Kelantan, maka tidak wajar buat saya menempelak atau meremehkan langkah tersebut,” katanya |
My Add
Monday, 26 September 2011
Pakatan Rakyat bincang Hudud Rabu ini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment