HAKIM Datuk Mohamad Zabidin menangguhkan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bagi mengenepikan sapina yang memerlukan mereka berdua menjadi saksi pembelaan dalam kes perbicaraan liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada minggu depan.
Permohonan itu difailkan pada 21 September lalu, di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menerusi Hisyam Teh Poh Teik & Company.
Pada 8 Ogos lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar untuk menyoal 17 saksi termasuk Najib dan Rosmah yang ditawarkan pendakwaan.
Sementara itu, pada 12 Ogos lalu, Najib dan Rosmah hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta untuk bertemu pasukan pembelaan yang diketuai Karpal Singh.
Selain Najib dan Rosmah, empat individu lain turut ditemu bual bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof, pemilik unit kondominium kejadian liwat itu didakwa berlaku, Hasanuddin Abd Hamid dan isteri, Noor Sham Abdul Hamid serta kakak ipar Hasanuddin dikenali sebagai Mashitah.
Pada 16 Mei lalu, Anwar, 64, diarah membela diri atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadi, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, tanpa kerelaan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Kuala Lumpur, antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh menyebabkan Anwar dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. - Berita Harian.
No comments:
Post a Comment