My Add

Friday, 30 September 2011

Calon boleh menang bukan wujudkan keadaan tidak harmonis

SERDANG: Langkah UMNO memilih calon yang boleh menang dalam pilihan raya umum akan datang bukan bertujuan mewujudkan keadaan tidak harmonis dalam parti, sebaliknya untuk memastikan kelangsungan perjuangan parti, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, UMNO akan menampilkan calon yang terdiri daripada muka baru dan lama, berpengalaman, bertenaga dan yang boleh diterima pengundi.

"Ini bukan perkara baru, kami sudah melakukan perubahan setiap kali menghadapi pilihan raya cuma degree atau jumlah itu, agak berbeza-beza. Kami kekalkan yang berpengalaman dan sesuai. Kami hanya ganti siapa yang perlu diganti sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai pemilihan calon boleh menang akan mewujudkan rasa tidak puas hari dalam kalangan ahli parti.

Muhyiddin mengakui setiap kali berlakunya perubahan akan ada pihak yang tidak puas hati namun beliau yakin parti mampu menguruskan perkara itu dengan cara terbaik.

"Jika ada yang tidak puas hati nanti, kita akan bawa berbincang. Kadang-kadang merajuk sekejap sahaja... satu dua hari tidak mahu bekerja, biasalah dalam UMNO. Dalam parti pembangkang pun ada juga, ini soal parti-parti politik... biasalah,” katanya.

Muhyiddin berkata, semua perlu mengakui hakikat tidak semestinya sudah lama menjadi ketua bahagian atau wakil rakyat, akan dipilih sebagai calon kerana pendapat ramai dan akar umbi menyatakan mereka mahukan muka baru.

"Mungkin sekarang masa untuk orang lain pula jadi calon. Masa kita sudah berlalu, jadi seperti mana orang sokong kita dahulu, giliran kita pula beri sokongan kepada orang lain,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment